DUNIA

Pusat Pengundian Dibuka Bagi Pilihan Raya Tempatan Palestin 2026

25/04/2026 08:11 PM

RAMALLAH, 25 April (Bernama-WAFA) -- Pilihan raya tempatan untuk memilih wakil bagi 183 majlis tempatan bermula dengan pembukaan pusat pengundian pada 7 pagi Sabtu, dengan kira-kira 1.3 juta pengundi layak dijangka menunaikan tanggungjawab mereka, lapor Agensi Berita dan Info Palestin (WAFA).

Proses pengundian berlangsung di 491 pusat pengundian yang merangkumi 1,922 saluran, dan dijadualkan berterusan sehingga 7 malam hari yang sama.

Pilihan raya tersebut melibatkan 90 majlis perbandaran, antaranya Deir al-Balah, iaitu 321 senarai pemilihan dengan 3,773 calon sedang bertanding, selain 93 majlis kampung dengan 1,358 calon yang merebut kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Palestin dijadualkan mengadakan sidang media lewat Sabtu bagi memberikan kemas kini mengenai proses pengundian dan menjawab pertanyaan media. Suruhanjaya itu juga akan mengumumkan kadar peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya tempatan berkenaan setiap tiga jam sepanjang hari pengundian.

Pilihan raya tempatan 2026 diadakan mengikut undang-undang pilihan raya baharu yang dikeluarkan pada 19 Nov 2025, yang memperkenalkan dua sistem pengundian: perwakilan berkadar (senarai terbuka) bagi majlis perbandaran, dan sistem pencalonan individu berasaskan majoriti bagi majlis kampung.

Pengundian di majlis perbandaran melibatkan tanda pangkah pada kotak di sebelah kanan hanya satu senarai pemilihan dan kemudian memilih lima calon daripada senarai tersebut. Bagi majlis kampung, pengundi memilih lima calon daripada nama-nama yang tertera pada kertas undi.

Mengenai proses pengiraan undi, undi akan dikira di pusat pengundian sejurus selepas tamat waktu mengundi dengan kehadiran pemerhati, wakil senarai bertanding, dan wartawan. Keputusan awal akan dipaparkan di setiap pusat sebelum dikumpulkan di pusat pemprosesan data pusat.

Keputusan akhir dijangka diumumkan pada Ahad oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat, termasuk jumlah undi, pengagihan kerusi, nama calon yang menang, dan keseluruhan peratusan keluar mengundi. Keputusan tersebut tertakluk kepada rayuan di mahkamah pilihan raya dalam tempoh seminggu selepas pengumuman dibuat.

-- BERNAMA-WAFA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan