JENAYAH & MAHKAMAH

146 Individu Ditahan Dalam Operasi Perdana AADK Terengganu

22/04/2026 03:44 PM

CHUKAI, 22 April (Bernama) -- Sebanyak 146 individu termasuk empat wanita yang didapati positif terhadap dadah ditahan dalam Operasi Perdana Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Terengganu bermula Sabtu lepas hingga hari ini.

Pengarah AADK Terengganu Arzmi Abdullah berkata kesemua yang berusia antara 18 hingga 61 tahun itu itu ditahan dalam operasi di sekitar Kemaman, Setiu dan Marang. 

“Sebanyak 132 individu didapati positif terhadap dadah jenis methamphetamine manakala masing-masing tujuh individu positif heroin dan ketum.

“Kesemua ditahan termasuk penjawat awam, buruh, pekerja restoran celup tepung serta ibu tunggal,” katanya pada sidang media selepas operasi berkenaan di Seri Bandi di sini hari ini.

Beliau berkata operasi terbabit disertai enam pegawai dan 69 anggota AADK manakala kesemua yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983 (Akta 283).

Arzmi berkata operasi berkenaan bertujuan membanteras dan mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam penyalahgunaan dadah serta bahan terlarang di kawasan dikenal pasti selain membersihkan lokasi yang menjadi sarang penagihan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan