AM

Kardiologi Pediatrik Di Malaysia: Mengembalikan Harapan, Menyelamatkan Nyawa Si Kecil

21/04/2026 04:50 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kelahiran seorang cahaya mata adalah detik yang paling membahagiakan bagi setiap pasangan namun boleh bertukar menjadi kebimbangan apabila masalah jantung dikesan pada anak mereka. 

Di Malaysia, kemajuan terkini dalam kardiologi pediatrik ibarat memberi sinar baharu buat ibu bapa yang berhadapan masalah itu apabila diagnosis menjadi langkah pertama yang memberi harapan buat si kecil.

Pakar Perunding Pediatrik dan Pakar Kardiologi Pediatrik, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) Dr Lim Wooi Kok berkata penyakit jantung kongenital (CHD) menjejaskan kira-kira satu daripada setiap 100 bayi.

Namun, beliau berkata kemajuan teknik imbasan dan rawatan terkini menjadikan impian ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka yang berada dalam situasi itu membesar menjadi dewasa lebih cerah berbanding sebelum ini. 

Mengulas lanjut, Dr Lim berkata masalah jantung dalam kalangan kanak-kanak terbahagi kepada dua kategori iaitu sejak lahir (kongenital) dan selepas lahir (dihidapi kemudian). 

Beliau berkata bagi kategori kongenital termasuklah ​​​​​masalah jantung kongenital asianotik atau jantung "merah jambu" (pink heart), jantung sianotik yang dikenali sebagai keadaan "bayi biru" dan sering dikesan sejurus selepas lahir terutama melalui saringan oksimetri (saturasi) yang dilakukan dengan betul, apabila tahap oksigen bayi dikesan lebih rendah daripada 95 peratus.

“Bagi kategori kongenital, ultrasound jantung (ekokardiografi) dilakukan untuk mengesahkan diagnosis, selain masalah jantung sianotik seperti Tetralogy of Fallot, Transposition of the Great Arteries dan Pulmonary Atresia adalah lebih serius serta memerlukan perhatian segera apabila bibir dan anggota badan bayi bertukar menjadi biru,” katanya dalam kenyataan.

Bagi kategori selepas lahir pula termasuklah penyakit Kawasaki, penyakit injap reumatik atau aritmia. Ia biasanya hadir dengan gejala demam berpanjangan, sakit dada atau pengsan selain “murmur” jantung biasanya kedengaran semasa pemeriksaan dan ekokardiogram diperlukan untuk mengesahkan diagnosis. 

Dr Lim yang juga pakar jantung berpengalaman menggunakan teknologi canggih seperti ekokardiografi, tomografi berkomputer (CT) dan pengimejan resonans magnetik (MRI) bagi tujuan pengimejan. 

Beliau berkata melalui teknologi itu, jantung dapat dilihat secara terperinci dalam bentuk 2D, 3D termasuk imbasan terperinci untuk menilai sejauh mana setiap sudut otot jantung berfungsi, terutama bayi yang baru lahir, kanak-kanak hinggalah pesakit dewasa yang menghidapi penyakit jantung kongenital (ACHD).

“Tidak semua pakar kardiologi dilatih untuk melakukan pengimejan keratan rentas bagi membina semula atau membaca imej kompleks ini. Tetapi memiliki kemahiran ini membolehkan kami memahami jantung kanak-kanak dengan ketepatan yang jauh lebih tinggi.

“Keupayaan untuk memvisualisasikan jantung kanak-kanak dalam imej 3D membantu kami untuk merancang rawatan yang lebih selamat dan diperibadikan. Perkembangan ini membantu kakitangan klinikal melihat struktur kecil dengan lebih jelas seterusnya dapat memberikan perancangan rawatan yang selamat dan tepat,” katanya.

Beliau berkata teknologi pengimejan CT terbaharu, iaitu CT pengiraan foton (PCCT), direka untuk memberikan imej 3D jantung yang terperinci sambil mengambil kira tahap pendedahan radiasi sekali gus amat penting dalam pengimejan pediatrik. 

Pakar itu berkata masalah jantung kongenital seperti Atrial Septal Defect (ASD), Patent Ductus Arteriosus (PDA) dan Ventricular Septal Defect (VSD) kini boleh dirawat melalui intervensi perkutaneus - prosedur invasif minimum yang dilakukan melalui kateter kecil di pangkal paha.

Katanya proses itu hanya mengambil masa beberapa jam dan kanak-kanak biasanya boleh pulang dalam tempoh beberapa hari serta dinasihatkan mengekalkan kebersihan mulut dan mematuhi nasihat pencegahan endokarditis untuk perlindungan jantung jangka panjang.

Disebabkan kanak-kanak dengan CHD sering menghadapi kesukaran menyusu, pertumbuhan yang perlahan dan memerlukan rawatan ulang-alik ke hospital, perkara itu menurut Dr Lim menuntut ibu bapa untuk memantau ubat-ubatan dan menghadiri janji temu susulan. 

Menjelaskan kebanyakan kes adalah disebabkan faktor genetik atau berlaku secara kebetulan, beliau berkata risiko CHD meningkat kepada dua hingga tiga peratus sekiranya ibu bapa atau adik-beradik turut menghidapinya.

“Kami sentiasa mengingatkan ibu bapa yang berhadapan masalah ini bahawa mereka tidak keseorangan dan dengan penjagaan yang betul, kebanyakan kanak-kanak dapat menjalani kehidupan aktif. Buktinya saya masih merawat beberapa pesakit selepas 20 tahun dan mereka kini sudah dewasa serta ada yang sudah berkahwin,” katanya.

Dr Lim berkata melalui teknologi dan kepakaran hari ini kebanyakan masalah jantung boleh dirawat melalui diagnosis awal dan rawatan betul, di samping menekankan kepentingan pencegahan dan pemeriksaan susulan seiring dengan rawatan serta menggalakkan saringan berkala dan vaksinasi untuk melindungi kanak-kanak daripada jangkitan.

“Sistem kesihatan Malaysia kini jauh lebih maju dan berkembang pesat termasuk ekokardiografi fetal yang membolehkan masalah jantung dikesan sebelum bayi dilahirkan. Ini memberi masa kepada ibu bapa untuk bersedia dan doktor untuk merancang kelahiran yang selamat serta intervensi segera jika perlu.

“Ibu mengandung kini boleh menjalani pemeriksaan jantung bayi dalam kandungan seawal minggu ke-18 hingga ke-22. Penjagaan yang sewajarnya boleh diberikan bersama pakar obstetrik jika terdapat masalah. Ini boleh menjadi faktor penentu dalam menyelamatkan nyawa,” katanya.

Menyifatkan masa depan cerah bagi kardiologi pediatrik di Malaysia, beliau berkata lebih ramai pakar dilatih dalam pengimejan dan intervensi canggih dengan setiap satunya membawa harapan lebih besar buat kanak-kanak yang berhadapan masalah sama. 

-- BERNAMA

Penafian: Ini adalah artikel advertorial berbayar. BERNAMA tidak bertanggungjawab terhadap kandungan, ketepatan dan pendapat yang disiarkan dalam artikel berkenaan.


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan