AM

Pusat Perubatan Sunway Velocity, ISN Meterai Kerjasama Perkukuh Penjagaan Dan Pemulihan Atlet 

17/04/2026 04:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) dan Institut Sukan Negara (ISN) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi merasmikan kerjasama strategik, yang bertujuan memperkukuh penjagaan kesihatan atlet dan ahli profesional sukan melalui penjagaan lebih lancar, selaras dan khusus.

Dalam satu kenyataan, SMCV memaklumkan bahawa MoU itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua institusi untuk menyokong atlet dan petugas ISN.

Kerjasama itu juga merangkumi keperluan perubatan menyeluruh, yang memberikan penekanan khusus kepada intervensi pembedahan, rehabilitasi dan pemulihan pascapembedahan untuk memastikan mereka dapat kembali bersukan dengan selamat.

“Teras utama kerjasama ini adalah matlamat bersama untuk menyediakan pengalaman penjagaan kesihatan yang holistik kepada atlet serta petugas ISN, dan memastikan mereka mendapat akses kepada rawatan, rehabilitasi dan sokongan pemulihan yang diperlukan pada masa yang tepat. 

“Ia turut mewujudkan satu rangka kerja bagi kerjasama klinikal yang lebih erat, rujukan dua hala serta perkongsian ilmu yang berterusan antara doktor pakar SMCV dan pasukan sains sukan serta perubatan ISN,” menurut kenyataan itu.

Majlis MoU itu disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SMCV Puan Susan Cheow dan Pengarah Perubatan merangkap Pakar Perunding Perubatan Kecemasan di SMCV Dr Wee Tong Ming, delegasi Pakar Perunding Bedah Ortopedik dan Trauma SMCV, iaitu Dr Chang Kok Chun serta Dr Ng Swee Soon, dan Dr Yuen Jin Chuan yang juga Pakar Bedah Artroplasti

Turut hadir ialah Pakar Bedah Sukan SMCV Dr Aminudin Mohamed Shamsudin dan Dr Raymond Yeak Dieu Kiat, serta Pakar Perunding Dermatologi Datin Dr Nur Ashikin Ahmad.

Mewakili ISN ialah CEO ISN Dr Vellapandian Ponnusamy, Pengarah Bahagian Sains Sukan Dr Mohamad Fajar Mohamed Kasim, Ketua Jabatan Penjagaan Sukan Dr Ahmad Munawwar Helmi Salim, Ketua Jabatan Perubatan Sukan Dr Amir Azwan Bin Azman, Ketua Jabatan Rehabilitasi Muhd Noorfaizalazrul Muhammad Azalai, dan Ketua Pusat Pengurusan Perubatan Sukan Nor Azian Khalid @ Abd Malek.

Menurut SMCV, atlet dan petugas ISN yang layak akan mendapat manfaat, termasuk rawatan pesakit luar dan kemasukan ke hospital, pemulihan pascapembedahan, perkhidmatan radiologi seperti ujian MRI, imbasan CT dan sinar-X, penjagaan ortopedik bagi masalah tulang, kecederaan sukan, sendi dan otot, serta perkhidmatan dermatologi untuk penyakit kulit yang berkaitan sukan.

Bagi menyokong akses yang lancar kepada perkhidmatan itu, MoU berkenaan mewujudkan sistem rujukan yang dipermudah antara SMCV dan ISN, membolehkan atlet serta petugas mendapat akses kepada kemudahan selain kepakaran daripada gabungan kedua-dua institusi sepanjang rawatan mereka.

Menerusi kenyataan yang sama, Cheow berkata pihaknya berbesar hati dapat bekerjasama dengan ISN dalam kolaborasi, yang mencerminkan komitmen bersama untuk menyokong kesihatan dan pemulihan atlet negara serta ahli profesional sukan Malaysia.

“Apa yang lebih penting, ini bukanlah kerjasama sekali sahaja, tetapi permulaan kepada kerjasama berterusan, yang menggabungkan kepakaran daripada kedua-dua institusi bagi memberikan manfaat berterusan dan dapat membuahkan hasil positif kepada atlet negara,” katanya.

Beliau berkata dengan intervensi pembedahan dan pemulihan pascapembedahan sebagai fokus utama kerjasama ini, kedua-dua institusi ini berusaha memastikan pelan rawatan bukan sahaja tertumpu kepada pemulihan, tetapi disesuaikan dengan keperluan perubatan serta pembedahan khusus mengikut jenis sukan atau disiplin setiap atlet.

Ini termasuk penekanan terhadap protokol kembali ke sukan yang berasaskan bukti bagi membantu atlet kembali bertanding dengan selamat, yakin dan pada tahap prestasi optimum.

Sementara itu Vellapandian berkata atlet menjadi kebanggaan negara dan memastikan mereka mendapat akses kepada kepakaran perubatan bertaraf tinggi adalah teras kepada misi ISN.

“Kerjasama dengan SMCV ini meningkatkan keupayaan kami untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang komprehensif, khususnya apabila intervensi pembedahan khusus atau pengimejan diagnostik lanjutan diperlukan.

“Dengan merapatkan jurang antara kecemerlangan sukan dan klinikal, kami berharap untuk memberikan sokongan terbaik kepada atlet negara untuk pulih daripada kecederaan dan kembali ke podium,” katanya.

MoU ini turut menyokong pertukaran berterusan ilmu perubatan dan kepakaran klinikal antara SMCV dan ISN. Melalui usaha ini, kedua-dua institusi ini berhasrat untuk meningkatkan kualiti rawatan, memperbaiki hasil pemulihan serta memperkukuh piawaian penjagaan menyeluruh untuk komuniti sukan Malaysia.

Menurut SMCV, kerjasama itu memperkenalkan rangka kerja rujukan silang dua hala, yang membolehkan atlet dan petugas ISN mendapat manfaat daripada gabungan kepakaran serta fasiliti daripada kedua-dua institusi.

“Pendekatan bersepadu ini bertujuan menyediakan sokongan yang lebih menyeluruh dan merangkumi perubatan sukan, pemulihan, pembedahan serta kepakaran perubatan lain yang berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Melalui kerjasama itu, SMCV dan ISN menegaskan komitmen dalam membina ekosistem penjagaan kesihatan lebih kukuh bagi atlet dan profesional sukan negara, bukan sahaja daripada aspek rawatan serta pemulihan, malah turut memastikan tahap kesihatan optimum, ketahanan fizikal serta prestasi sukan yang berterusan untuk jangka panjang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan