PUTRAJAYA, 21 April (Bernama) -- Pindaan terhadap Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741) dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat hujung tahun ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Beliau berkata ketika ini ia dalam proses penyediaan draf pindaan sebelum dibawa ke Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Kementerian Komunikasi mengambil kira beberapa perkembangan baharu dalam teknologi, iaitu kita lihat ada pelbagai penyedia perkhidmatan kurier, pada masa sama ada beberapa aspek dalam penghantaran pos, surat-surat yang sebelum ini disebut sebagai Kewajipan Perkhidmatan Sejagat (USO).
“Jadi kita akan mulakan usaha untuk buat pindaan itu dan menukar takrif USO supaya ia seiring dengan perkembangan tentang penghantaran bungkusan dan produk dalam ekosistem e-dagang,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kempen NADI Usahawan @ Shopee, hasil kolaborasi antara Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Shopee di sini hari ini.
Fahmi berkata pemain industri seperti platform e-dagang dan syarikat kurier turut dialu-alukan untuk berkongsi pandangan dan cadangan bagi penambahbaikan Akta 741.
Pada Oktober tahun lepas, Kementerian Komunikasi dilaporkan dalam proses meminda Akta 741 bagi memastikan ekosistem perkhidmatan pos yang lebih lestari, mampan dan berdaya saing, selain memastikan kebajikan pekerja terpelihara.
Mengenai Kempen NADI Usahawan @ Shopee itu, beliau berkata NADI atau Pusat Sebaran Maklumat Nasional bukan sekadar menyediakan akses internet, tetapi juga memainkan peranan penting sebagai platform komuniti, termasuk menjadi ruang pembelajaran, pemerkasaan dan pembangunan kapasiti masyarakat.
“Apabila kemudahan ini digandingkan dengan kekuatan pemain industri seperti Shopee, peluang yang terhasil menjadi lebih praktikal dan bertepatan dengan keperluan sebenar rakyat.
“Saya harap inisiatif seperti NADI Usahawan @ Shopee ini dapat terus diperkukuh dan diperluaskan. Kita mahu melihat lebih ramai usahawan NADI yang berani meneroka pasaran digital, memperkukuh jenama dan meningkatkan pendapatan keluarga serta komuniti,” katanya.
Fahmi turut menyeru usahawan NADI agar menetapkan sasaran yang lebih tinggi dalam meningkatkan jualan, meneroka inovasi dalam produk dan perkhidmatan dan memperkukuh produktiviti perniagaan masing-masing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial