AM

Kementerian Komunikasi Akan Bawa Cadangan Salur Bantuan Tambahan Kepada Penganjur Acara - Fahmi

21/04/2026 11:25 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet bagi menyalurkan bantuan tambahan kepada penganjur acara susulan lanjutan kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 hingga penghujung 2027.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata bantuan itu dijangka disalurkan menerusi Insentif Konsert dan Acara Malaysia (CEMI) yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika pembentangan Belanjawan 2026 tahun lepas.

Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata kementerian turut meminta MyCreative Ventures untuk berhubung dengan semua peminjam, khususnya dalam kalangan artis dan penganjur acara bagi menyelaras semula pinjaman mereka susulan lanjutan tempoh TMM2026.

“MyCreative Ventures ada memberi pinjaman kepada artis, penganjur acara dan pelbagai pihak dan sama seperti bank-bank komersial, saya minta supaya mereka membincangkan penyelarasan pembayaran semula bagi sebarang tunggakan atau pinjaman sedia ada, khususnya melibatkan artis,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Makan Malam Persatuan Seni, Acara Langsung, Konsert dan Festival Malaysia (ALIFE) di sini malam ini.

Majlis Makan Malam ALIFE Malaysia yang menghimpunkan pemimpin industri, pegawai kerajaan serta pihak berkepentingan itu turut dihadiri Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai dan Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Mengulas lanjut, Fahmi berkata langkah berkenaan penting bagi memastikan kelangsungan industri kreatif serta memberi ruang kepada penggiat seni dan penganjur acara untuk terus aktif sepanjang tempoh kempen pelancongan itu.

Terdahulu, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kempen TMM 2026 dilanjutkan hingga 2027 bagi memberi ruang kepada pasaran pelancongan antarabangsa pulih, dengan sasaran 47 juta pelawat asing serta RM329 bilion pendapatan pelancongan.

Sementara itu, Fahmi berkata beliau akan memanjangkan jemputan rasmi selaku sekretariat Majlis Ekonomi Jingga (industri kreatif) kepada ALIFE Malaysia bagi mewakili pemain industri dalam majlis yang akan ditubuhkan secara rasmi nanti.

Beliau berkata Majlis Ekonomi Jingga (industri kreatif) yang akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu, akan dibentuk  dalam masa terdekat berikutan potensi besar industri kreatif dalam menyumbang pertumbuhan ekonomi negara ketika berdepan krisis bekalan global ketika ini.

“ALIFE Malaysia mewakili pelbagai persatuan serta syarikat yang mengendalikan acara persembahan dan mereka juga telah membuat pindaan kepada perlembagaan bagi membolehkan pekerja separuh masa menyertai sebagai anggota,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata ALIFE Malaysia akan melancarkan inisiatif “Beli Tiket Selamat” (BTS) iaitu satu laman mikro bagi memastikan penjualan tiket konsert yang selamat kepada pembeli dalam masa terdekat.

ALIFE ialah sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdedikasi untuk memperkukuh dan melindungi ekosistem hiburan langsung serta acara di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan