AM

Melaka Perkasa TVET Melalui Tiga Inisiatif, Lahirkan Tenaga Kerja Mahir, Usahawan Berjaya

21/04/2026 10:41 AM

MELAKA, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Melaka terus komited memperkasakan pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi tiga inisiatif utama bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja mahir dan usahawan berjaya.

Timbalan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Pembangunan TVET negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata perancangan strategik itu merangkumi program Technopreneur, pembangunan pangkalan data TVET bersepadu serta penubuhan Melaka Centre of Excellence (MCOE).

"Program Technopreneur diperkenalkan bagi melatih graduan TVET khususnya belia di negeri ini supaya bukan sahaja menjadi pekerja mahir tetapi mampu berkembang sebagai usahawan hingga tahap menjadi majikan.

“Matlamat kita adalah untuk melahirkan graduan TVET yang bukan sekadar mencari pekerjaan, tetapi mampu menjadi usahawan berjaya yang turut membuka peluang pekerjaan kepada orang lain,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Malam Apresiasi TVET Melaka 2026 di Banda Hilir di sini malam tadi.

Terdahulu, majlis itu disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman.

Khaidirah berkata penubuhan MCOE sebagai pusat kecemerlangan negeri yang berfungsi menyelaras latihan kepada bakal pekerja dan bakal majikan secara lebih tersusun dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang 2027.

Beliau berkata MCOE dibangunkan sepenuhnya dengan kerjasama pemain industri bagi memastikan setiap latihan dirancang benar-benar memenuhi keperluan pasaran kerja semasa.

“Ia dirangka berdasarkan keperluan sebenar industri dan mendapat pengiktirafan pihak industri sendiri. Apa yang industri mahukan, kita akan padankan secara tepat.

“Sebelum ini kita telah menyediakan asas dan menerima komitmen yang sangat baik daripada pihak industri. Kini kita mahu memastikan setiap pengisian program benar-benar sepadan dengan keperluan industri sendiri,” katanya.

Beliau berkata selain itu, kerajaan negeri telah melancarkan portal rasmi TVET Melaka menerusi www.tvetmelaka.com sebagai pusat sehenti bagi mendapatkan maklumat berkaitan program, latihan, pengambilan pelatih serta peluang penyertaan dalam pelbagai inisiatif TVET.

Katanya, portal itu juga membolehkan pihak industri meneliti saluran pembangunan bakat yang disediakan kerajaan negeri selain berkongsi input bagi memastikan keperluan industri dapat dipadankan secara lebih efektif.

Pada majlis sama, Majlis TVET Melaka turut menyalurkan peruntukan berjumlah RM150,000 kepada 30 institusi pengajian tinggi (IPT) di negeri itu bagi memperkasakan latihan dan program pembangunan TVET, dengan setiap IPT menerima RM5,000.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan