SHAH ALAM, 21 April (Bernama) -- Kerajaan Negeri Selangor akan mempelbagaikan usaha bagi memastikan kesan krisis tenaga global dapat ditangani secara berkesan demi kesejahteraan rakyat seiring dengan perkembangan semasa.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata untuk itu kerajaan negeri akan menumpukan beberapa aspek ekonomi dan sosial, khususnya bagi membantu rakyat serta industri menghadapi krisis tenaga global dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun akan datang.
Amirudin berkata aspek pertama adalah untuk menangani kesan-kesan peningkatan harga barang, kos sara hidup seterusnya membantu serta menyerap tekanan kepada kumpulan rentan.
“Aspek kedua ialah (membantu) mempertahankan industri dan kegiatan ekonomi yang mungkin terkesan secara langsung dan tidak langsung akibat daripada krisis itu.
“Yang ketiga, meneroka peluang-peluang baru supaya kerajaan negeri mempunyai daya tahan pada masa hadapan. Ini agar apabila berlaku semula krisis seperti ini kita mampu untuk menyerap kesannya seperti dengan penerokaan tenaga baharu atau penggunaan kenderaan awam,” katanya.
Beliau menjawab soalan lisan Michelle Ng Mei Sze (PH-Subang Jaya) yang ingin tahu kesan peperangan di Asia Barat kepada Selangor khususnya dari segi pembelanjaan dan projek-projek kerajaan serta kelangsungan makanan.
Bagi aspek keempat, Amirudin berkata kerajaan negeri akan meningkatkan komunikasi dengan masyarakat supaya mereka faham krisis tenaga ini akan memberikan kesan pendek dan panjang kepada negeri, khususnya dari segi kutipan hasil.
“(Kita jangka) berlaku pengurangan lebih kurang hampir RM100 juta hasil negeri yang dicatatkan tahun ini daripada tempoh yang sama pada tahun 2025.
“Kerajaan negeri akan meneliti dengan terperinci perkembangan ini supaya kita dapat melihat kembali apakah hasil dan keupayaan negeri mampu dioptimumkan sehingga kita mampu mencapai sasaran (unjuran hasil negeri) RM2.8 bilion seperti dibentangkan dalam belanjawan,” katanya.
Beliau berkata impak krisis tenaga global yang berlaku ketika ini belum mencapai tahap kritikal atau titik panas yang sebenar.
“Kita belum lagi sebenarnya sampai ke tahap kritikal atau tahap titik panas yang sebenarnya kerana contohnya harga bahan bakar yang kita gunakan sekarang adalah kesan daripada (situasi) empat atau lima bulan lepas. Kita jangka kesan sebenar pada September ini," katanya..
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial