JENAYAH & MAHKAMAH

Sindiket Vape Berisi Dadah Furanyl Fentanyl Terbongkar, Rampasan Bernilai RM2.88 Juta

21/04/2026 08:11 PM

KUALA LUMPUR, 21 April (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah menggunakan cecair rokok elektronik atau vape dalam dua serbuan di sekitar ibu negara dengan rampasan dianggar bernilai RM2.88 juta. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam serbuan pertama di sekitar Taman Bukit Cheras pada 13 April lepas, pihaknya menahan dua lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berumur antara 23 dan 31 tahun.

“Hasil pemeriksaan menjumpai sembilan botol putih mengandungi cecair disyaki dadah jenis furanyl fentanyl dengan anggaran berat 16.86 kilogram (kg),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di sekitar Taman Mastiara, Sentul, Jumaat lepas, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita berumur 22 dan 25 tahun serta merampas 155 katrij vape mengandungi cecair disyaki furanyl fentanyl seberat 1.7 kg serta 22 peket plastik mengandungi serbuk disyaki dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 0.66 kg.

Hussein berkata suspek ditahan terdiri daripada penjaga dan pemilik kedai, penjaga stor serta individu berperanan sebagai penghantar.

“Kesemuanya didapati negatif terhadap dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan jenayah lampau. Tiga suspek pertama direman 11 hari bermula 14 April manakala dua lagi direman tujuh hari bermula 18 April bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kewujudan dadah “zombi” fentanyl di negara ini yang dipercayai 100 kali lebih kuat daripada morfin, hasil analisis sampel air kumbahan di Lembah Subang yang dijalankan baru-baru ini.

Sementara itu, Hussein berkata kejayaan berkenaan merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Ops Vape 1.0 dijalankan di seluruh negara dari 13 April hingga Jumaat lepas, yang memfokuskan kepada pemeriksaan premis menjual vape serta mengekang aktiviti pengedaran dadah melalui vape di bawah peruntukan ADB 1952 dan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Operasi melibatkan 1,177 pegawai dan anggota JSJN serta 2,011 pegawai daripada pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan, Agensi Antidadah Kebangsaan, pihak berkuasa tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Tenaga Nasional Berhad.

“Sepanjang operasi, sebanyak 1,670 premis diperiksa dengan 728 didapati melanggar peraturan, manakala 20 tangkapan dilakukan melibatkan pelbagai kesalahan termasuk di bawah Seksyen 15(1)(a) ADB 1952, Seksyen 39B dan Seksyen 12(2) akta sama serta Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau berkata sebanyak 868 individu turut menjalani pemeriksaan air kencing dengan 13 daripadanya didapati positif dadah.

“Jumlah keseluruhan rampasan melibatkan 8,091 peranti dan 5,257 katrij serta 19.67 kg dadah termasuk furanyl fentanyl, THC, MDMA dan air ketum, selain 186.54 kg cecair vape tidak mengandungi dadah yang disiasat di bawah akta berkaitan,” katanya sambil menambah nilai keseluruhan rampasan sepanjang Ops Vape 1.0 dianggarkan RM4.6 juta.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan