KUCHING, 20 April (Bernama) -- Pekerja di Sarawak layak menerima dua hari cuti kelepasan am gantian pada 3 dan 4 Jun ini berikutan pertindihan beberapa cuti umum termasuk Hari Wesak, Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan Hari Gawai pada penghujung Mei serta awal Jun tahun ini.
Jabatan Tenaga Kerja Sarawak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan Hari Wesak jatuh pada 31 Mei, manakala Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong serta Hari Gawai pertama disambut pada 1 Jun, diikuti Hari Gawai kedua (2 Jun).
Menurut kenyataan itu, berdasarkan subseksyen 104(1) Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76), Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong merupakan hari kelepasan am wajib yang diberikan kepada pekerja dan tidak boleh digantikan dengan hari lain.
“Hari Wesak serta Hari Gawai pertama dan kedua pula merupakan hari kelepasan am yang ditetapkan berdasarkan agama dan budaya pekerja,” menurut kenyataan itu.
Jabatan itu turut menjelaskan subseksyen yang sama menetapkan bahawa sekiranya mana-mana hari kelepasan am jatuh pada hari rehat pekerja atau bertindih dengan hari kelepasan am lain, maka hari bekerja berikutnya hendaklah dijadikan sebagai hari kelepasan am gantian.
"Sehubungan itu, bagi pekerja yang telah diberikan hari kelepasan am bagi Hari Wesak serta Hari Gawai pertama dan kedua, hari bekerja berikut pada 3 Jun hendaklah dijadikan sebagai hari kelepasan am gantian bagi Hari Wesak sekiranya hari tersebut merupakan hari rehat pekerja," katanya.
Kenyataan itu menjelaskan tarikh 4 Jun pula hendaklah dijadikan sebagai hari kelepasan am gantian bagi Hari Gawai pertama yang bertindih dengan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
"Bagaimanapun, tarikh gantian itu boleh diubah kepada hari lain melalui persetujuan bersama antara majikan dan pekerja selaras dengan subseksyen 104(2) ordinan yang sama," katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, sekiranya pekerja dikehendaki bekerja pada mana-mana hari kelepasan am atau hari kelepasan am gantian berkenaan, mereka berhak menerima kadar gaji bagi kerja pada hari kelepasan am sebagaimana diperuntukkan di bawah subseksyen 104(6), (7), (8) dan (9) ordinan tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial