AM

Sarawak Di Landasan Tepat Sebagai Peneraju Masa Depan - TPM Fadillah

19/04/2026 06:30 PM

KUCHING, 19 April (Bernama) -- Kepimpinan Sarawak yang menekankan pembangunan ekonomi berasaskan tenaga boleh baharu, ekonomi digital dan pendidikan meletakkan negeri itu pada landasan tepat sebagai peneraju masa depan.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata Sarawak merangka hala tuju progresif melalui ekonomi berasaskan gas, tenaga boleh baharu dan industri hiliran sekali gus membuka peluang pekerjaan serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

“Ia menggambarkan kepimpinan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg memfokuskan kepada kedaulatan hak, kemakmuran jangka panjang dan kesinambungan pembangunan Sarawak,” katanya menerusi hantaran Facebook bersempena dengan Konvensyen Gabungan Parti Sarawak (GPS) 2026 di sini hari ini

Fadillah berkata ucapan Abang Johari pada perasmian konvensyen itu jelas mencerminkan pucuk kepimpinan Sarawak yang berwawasan, berani dan berpaksikan kepentingan rakyat.

Beliau berkata turut menyambut baik ketegasan Premier Sarawak dalam memperjuangkan hak negeri berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), khususnya dalam pengurusan sumber strategik seperti minyak dan gas.

“Pendekatan yang diambil matang dan konstruktif dengan menekankan prinsip keadilan serta kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan negeri,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata konvensyen tersebut bukan sahaja memperkukuh kesepaduan dalam GPS, malah menjadi platform penting untuk menyelaraskan hala tuju pembangunan Sarawak selaras dengan aspirasi nasional.

Fadillah berkata komitmen GPS untuk memastikan kestabilan politik, perpaduan rakyat serta kesinambungan kepimpinan melalui gabungan pengalaman dan generasi muda, asas penting dalam menjamin kemakmuran jangka panjang.

“Seluruh lapisan rakyat tanpa mengira kaum harus bersama-sama segulai sejalai (seiring sejalan) dengan Kerajaan Negeri Sarawak dalam memastikan setiap inisiatif pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan rakyat dan Sarawak Maju Makmur,” katanya. 

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan