TAWAU, 15 April (Bernama) -- Sebanyak 78 warga China serta masing-masing seorang warga Laos dan Myanmar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan kegiatan penipuan dalam talian, di sini.
Kesemua 80 tertuduh termasuk empat wanita yang berumur antara 17 hingga 46 tahun itu membuat pengakuan berkenaan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka dalam bahasa Mandarin.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama-sama melakukan pakatan jenayah dengan menyamar sebagai polis dari negara China untuk melakukan perbuatan menyalahi undang-undang, iaitu memperdaya mangsa dalam penipuan insuran melalui panggilan telefon serta video.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di sini pada 9.25 pagi, 7 April lepas mengikut Seksyen 120B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mahkamah membenarkan 57 tertuduh diikat jamin RM3,500 setiap seorang dengan dua penjamin tempatan, manakala 23 lagi tertuduh tidak ditawarkan jaminan memandangkan mereka berdepan dengan kesalahan imigresen.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 25 Mei ini untuk serahan dokumen.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Shearil Aizad Murnizam, manakala tujuh tertuduh diwakili peguam Vivian Thien serta dua lagi diwakili peguam Jhesseny P Kang dan selebihnya tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial