AM

Diesel Dihantar Ke Filipina Bukan Dari Perut Bumi Malaysia - Fahmi

15/04/2026 07:13 PM

PUTRAJAYA, 15 April (Bernama) -- Kerajaan sekali lagi menegaskan kira-kira 329,000 tong diesel yang dihantar ke Filipina, baru-baru ini, bukan berasal dari Malaysia sebagaimana dilaporkan beberapa media antarabangsa.

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil berkata dakwaan itu disahkan tidak benar sama sekali kerana bekalan minyak diesel tersebut bukan hasil daripada aktiviti cari gali di mana-mana telaga di negara ini.

"Ditanya tentang diesel tadi, minyak yang sampai ke Filipina itu bukan minyak dari perut bumi Malaysia. Disahkan," katanya pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Isnin lepas, Fahmi menjelaskan bekalan diesel tersebut bukan diproses oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) atau mana-mana syarikat minyak tempatan, tetapi dimiliki dan dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura iaitu Vitol.

"Hakikatnya, minyak berkenaan bukan diproses oleh Petronas atau mana-mana syarikat minyak tempatan, sebaliknya ia milik Vitol yang telah dijual kepada Filipina, dengan kapal itu hanya berlepas dari perairan Malaysia," katanya.

Sebelum ini, media Filipina melaporkan kira-kira 329,000 tong atau 52.311 juta liter diesel dari Malaysia dihantar ke negara itu bagi menambah bekalan bahan api negara berkenaan ketika ketidaktentuan pasaran global.

Menurut laporan itu, penghantaran berkenaan adalah sebahagian daripada usaha Kerajaan Filipina memperkukuhkan bekalan domestiknya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan