AM

PMR 2026 Perak Buka Tirai Hari Ini, Tawar Pelbagai Aktiviti Menarik

03/04/2026 08:10 AM

IPOH, 3 April (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak membuka tirainya hari ini dengan menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada kira-kira 100,000 pengunjung sepanjang tiga hari program itu berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini.

Acara hari ini dijadualkan bermula 9 pagi dengan persembahan kesenian dan kebudayaan oleh murid Kementerian Pendidikan (KPM) bertajuk "Gema Generasi MADANI KPM" yang menonjolkan bakat pelajar khususnya Sekolah Seni Malaysia.

Turut berlangsung sesi ceramah oleh Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dengan tajuk "Negeri Perak: Hulu ke Hilior, Ape yang Smart nye??" yang selari dengan tema “Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni”.

Sesi itu bertujuan mengetengahkan teknologi bandar pintar secara santai melalui demonstrasi fizikal seperti Smart Pole Mini dan Aplikasi Rakaman Kamera Litar Tertutup (CCTV) Masa Nyata. 

Pendedahan teknologi secara praktikal itu bertujuan memberi kefahaman jelas kepada rakyat dan agensi peneraju mengenai potensi bandar pintar.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik menerusi Sesi Cabutan Bertuah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Yakin MADANI! bermula 2.30 petang.

Pada 4.30 petang pula, Halal Development Corporation (HDC) dijadualkan memberi ceramah kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dari segi pengetahuan dan bimbingan permohonan pensijilan halal, akses pasaran domestik serta global.

Suasana malam pula diserikan dengan persembahan kerohanian berbentuk selawat dan nasyid yang membawa mesej keinsafan, kasih sayang dan kecintaan kepada Ilahi bermula 7 malam.

PMR 2026 Perak dilaksanakan secara berskala besar dan merupakan siri jelajah yang pertama bagi tahun ini, bermula dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu, manakala pada Ahad program dijadualkan berakhir 6 petang. 

PMR 2026 Perak turut dimeriahkan dengan aktiviti lain, antaranya Jualan Rahmah melibatkan diskaun sehingga 30 peratus, karnival kerjaya, penukaran topi keledar percuma, festival makanan tempatan, pertukaran minyak enjin motosikal percuma dan gunting rambut percuma.

Majlis perasmian PMR Perak dijadualkan esok dan akan disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan