AM

Nga Luang Masa Tinjau PMR 2026 Perak, Suntik Semangat Petugas

03/04/2026 08:32 PM

IPOH, 3 April (Bernama) -- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming hari ini meluangkan masa turun padang ke Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya di sini.

Nga meninjau reruai semua kementerian yang rata-rata telah memulakan aktiviti interaktif bersama pengunjung sejak 9 pagi tadi di samping melihat persiapan majlis perasmian di pentas utama.

Kehadiran Nga yang turut berkesempatan menyantuni petugas media jelas menyuntik semangat kepada hadirin termasuk urus setia dan petugas. 

Majlis perasmian PMR 2026 Perak dijangka disempurnakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim petang esok.

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berperanan sebagai kementerian peneraju bagi PMR 2026 Perak yang menyediakan lebih 200 perkhidmatan kerajaan di lebih 30 reruai

Pelbagai pengisian menarik menanti pengunjung sepanjang program ini berlangsung hingga Ahad termasuk penyampaian perkhidmatan awam, cabutan bertuah, Jualan RAHMAH, Jualan Agro MADANI, pameran aset keselamatan dan tawaran peluang pekerjaan.

Dijangka lebih 100,000 orang bakal mengunjungi program berkenaan sepanjang tiga hari ia berlangsung.

Perak menjadi lokasi pertama PMR tahun ini yang menyaksikan pengunjung mula memenuhi lokasi program sebaik bermula pagi tadi untuk mendapatkan pelbagai perkhidmatan termasuk Jualan Agro MADANI oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, penukaran topi keledar percuma di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta rawatan pergigian percuma di reruai Kementerian Kesihatan (KKM).

Sementara itu, tinjauan raptai penuh majlis perasmian juga didapati berjalan lancar.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan