AM

PMR 2026 Perak Buka Tirai Esok, Lebih 200 Perkhidmatan Ditawarkan

02/04/2026 09:02 PM

IPOH, 2 April (Bernama) -- Kira-kira 230 perkhidmatan secara langsung (touchpoint) disediakan kementerian dan agensi kerajaan menerusi 34 reruai kepada pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) 2026 Perak, yang akan membuka tirai esok.

Program yang bakal berlangsung di Bulatan Sultan Azlan Shah, Meru Raya selama tiga hari itu dilaksanakan secara berskala besar dan siri jelajah yang pertama bagi tahun ini.

Acara itu akan bermula dari 9 pagi hingga 10 malam pada Jumaat dan Sabtu manakala berakhir pada 6 petang (Ahad).

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka merasmikan PMR 2026 Perak pada Sabtu ini.

PMR 2026 Perak yang mengangkat tema “Bandar Lestari, Perumahan Berkualiti, Komuniti Harmoni” dilaksanakan melalui kerjasama strategik antara Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), Pejabat Perdana Menteri selaku sekretariat induk dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan selaku kementerian peneraju dan Kerajaan Negeri Perak sebagai tuan rumah.

Tema itu sebagai menzahirkan aspirasi kerajaan dalam mewujudkan integrasi antara pembangunan fizikal dan kesejahteraan rakyat melalui pembangunan bandar yang mampan, penyediaan perumahan berkualiti dalam meningkatkan martabat kehidupan serta pembentukan komuniti harmoni untuk menjamin kestabilan sosial sebagai tunjang kemajuan negara.

Aspirasi itu juga selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang turut memberi penekanan kepada kesejahteraan komuniti, perumahan dan pembangunan bandar.

PMR 2026 Perak yang menyasarkan kira-kira 100,000 pengunjung juga akan dimeriahkan dengan aktiviti lain, antaranya Jualan Rahmah melibatkan diskaun antara 10 peratus hingga 30 peratus, karnival kerjaya, penukaran topi keledar percuma, festival makanan tempatan, pertukaran minyak enjin motosikal percuma dan gunting rambut percuma.

Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) juga dipelawa ke reruai Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang akan menyediakan informasi tentang penajaan yang ditawarkan kepada lepasan SPM bagi menyambung pendidikan mereka.

Selain itu, orang ramai, khususnya yang sedang mencari pekerjaan dipelawa ke Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs Perak apabila pelbagai peluang pekerjaan, sesi temu duga terbuka dan perkhidmatan kerjaya menanti pencari kerja pada karnival berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan