AM

Malaysia Hargai Sumbangan Mesir Ke Arah De-Eskalasi Di Asia Barat - Anwar

27/03/2026 12:16 AM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Malaysia menghargai sumbangan Mesir dalam menggesa pihak yang bertelagah ke arah de-eskalasi, dialog serta penghentian segera keganasan di Asia Barat, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata penghargaan itu dizahirkan dalam perbualan telefon bersama Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi hari ini, yang turut menyaksikan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala ke tahap Perkongsian Strategik.

Menerusi hantaran di Facebook malam ini, Anwar memaklumkan beliau turut menzahirkan kebimbangan Malaysia terhadap konflik semasa di Asia Barat, selain berkesempatan menyampaikan ucapan Aidilfitri kepada El-Sisi.

“Menyentuh isu Palestin, Malaysia menyokong usaha Mesir dalam membantu Gaza serta menegaskan bahawa sebarang inisiatif keamanan mesti berteraskan gencatan senjata dan akses kemanusiaan," katanya.

Selain itu, Perdana Menteri memohon sokongan Mesir terhadap misi bantuan kemanusiaan 2026 melalui sempadan Rafah yang bakal dilancarkan dalam masa terdekat.

Ketegangan serantau terus memuncak sejak Amerika Syarikat dan Israel melancarkan serangan bersama terhadap Iran pada 28 Feb lepas.

Tindakan itu menyaksikan Tehran membalas dengan melancarkan serangan dron serta peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta beberapa negara jiran yang menempatkan aset ketenteraan Amerika Syarikat, sekali gus menjejaskan kestabilan pasaran global dan sektor penerbangan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan