ISTANBUL, 26 Mac (Bernama-Anadolu) -- Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menyatakan pada Khamis pihaknya melancarkan gelombang baharu serangan dron yang menyasarkan tapak dan logistik ketenteraan berkaitan Amerika Syarikat (AS) di Kuwait, Arab Saudi dan Bahrain, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik agensi berita separa rasmi Tasnim.
Menurut IRGC dalam kenyataan, gelombang ke-82 operasi True Promise 4 dilancarkan pada waktu subuh dan mencapai sasaran yang telah ditetapkan termasuk pangkalan Arifjan di Kuwait, Al-Kharj di Arab Saudi dan pangkalan Sheikh Isa di Bahrain.
Menurut IRGC, tindakan balas itu adalah susulan serangan ke atas bandar Khorramshahr di barat daya Iran.
Kenyataan itu mendakwa kemudahan logistik pertahanan AS, unit penstoran bahan api, hangar dron MQ-9 dan sistem komunikasi satelit disasarkan.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan dijalankan menggunakan peluru berlegar-legar dan "berjaya dilaksanakan" dan gelombang selanjutnya sedang berjalan.
Seluruh rantau Asia Barat berada dalam keadaan waspada sejak AS dan Israel melancarkan serangan bersama ke atas Iran pada 28 Feb yang setakat ini membunuh lebih 1,340 orang termasuk Pemimpin Tertinggi Iran sebelum ini Ali Khamenei.
Tehran bertindak balas dengan serangan dron dan peluru berpandu yang menyasarkan Israel serta Jordan, Iraq dan negara-negara Teluk yang menempatkan aset tentera AS.
Konflik menyebabkan korban dan kerosakan pada infrastruktur selain menjejaskan pasaran global dan penerbangan.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial