AM

Hutan Ladang Sawit Koridor Penting Bagi Pergerakan Selamat Hidupan Liar - MPOGCF

26/03/2026 09:58 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mac (Bernama) -- Kawasan pinggir hutan dalam ladang kelapa sawit bukan sekadar zon sempadan, tetapi berfungsi sebagai koridor ekologi penting yang membolehkan hidupan liar bergerak dengan selamat antara hutan simpan dan landskap sekitarnya, demikian menurut satu kajian baru-baru ini.

Yayasan Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dalam satu kenyataan memaklumkan dapatan daripada kajian yang dijalankan oleh pakar daripada Pusat Alam Sekitar Global (GEC) berhampiran Hutan Simpan Binsulok dan Klias di Beaufort, Sabah, menunjukkan bahawa pinggir hutan ini memainkan peranan penting dalam menyokong pergerakan pelbagai spesies fauna.

"Hidupan liar yang direkodkan menggunakan koridor ini termasuk mamalia besar seperti rusa sambar, babi berjanggut Borneo, harimau bintang dan monyet proboscis, serta mamalia yang lebih kecil, reptilia, burung pemastautin dan spesies burung yang berhijrah.

"Sepanjang 12 bulan, sejumlah 13 perangkap kamera telah dipasang secara strategik di sepanjang sempadan ladang kelapa sawit bersebelahan hutan simpan untuk memantau corak pergerakan hidupan liar," menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.

MPOGCF memaklumkan projek pengumpulan data biodiversiti itu yang bermula pada Disember 2024 dan berakhir pada Disember 2025, melibatkan beberapa ladang kelapa sawit milik persendirian dan pekebun kecil bebas di daerah Beaufort yang terletak di barat daya Sabah.

Kajian yang dibiayai oleh MPOGCF itu dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi Kerajaan Negeri Sabah, termasuk Jabatan Perhutanan Sabah, Jabatan Hidupan Liar Sabah, Pusat Biodiversiti Sabah, serta syarikat perladangan dan pekebun kecil.

Menurut MPOGCF, objektif utama kajian itu adalah untuk mengenal pasti spesies hidupan liar di ladang kelapa sawit bersebelahan dengan hutan simpan dan mengkaji kehadiran biodiversiti bagi menyokong pengurusan pemuliharaan dalam ekosistem tanah gambut.

“Dapatan daripada kajian itu akan menjadi sebagai rujukan untuk menyokong pengurusan pemuliharaan hidupan liar dalam Landskap Tanah Gambut Semenanjung Klias (KPPL),” menurutnya.

KPPL merupakan kawasan tanah gambut yang sangat penting terdiri daripada hutan paya gambut dan ekosistem hutan bakau utuh yang berfungsi sebagai habitat penting untuk pelbagai hidupan liar, di samping memainkan peranan penting dalam mitigasi perubahan iklim dan pengurusan banjir di Beaufort, Sabah.

Menurut MPOGCF,  selain penyelidikan biodiversiti, projek itu juga melaksanakan kempen kesedaran mengenai pencegahan kebakaran tanah gambut, menggalakkan amalan penggunaan tanah yang bertanggungjawab dan memperkukuh usaha pemuliharaan biodiversiti dengan melibatkan komuniti tempatan, termasuk pekebun kecil kelapa sawit dan pelajar sekolah.

Projek tersebut menyokong peranan pekebun kecil melalui penubuhan pasukan rondaan komuniti yang bertujuan mencegah kebakaran tanah gambut serta inisiatif untuk membentuk Pasukan Bomba Komuniti di bawah seliaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Beaufort.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan