AM

Ops Pantau Menjelang Aidilfitri, KPDN Terengganu Kesan 39 Kes

17/03/2026 02:34 PM

KUALA TERENGGANU, 17 Mac (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu mengesan 39 kes melibatkan pelbagai kesalahan menerusi Ops Pantau 2026 yang dilaksanakan sejak 19 Feb lepas.

Pengarahnya Mohd Mufsi Lat berkata kes itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 2,451 premis, termasuk Bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar raya dan kedai runcit.

“39 kes itu antaranya melibatkan kesalahan timbang sukat serta tanda harga. Ops yang mula berkuat kuasa pada 19 Feb lepas hingga 20 Mac ini bagi memastikan rakyat berada dalam suasana yang selesa, mudah mendapatkan bekalan makanan dan keperluan harian pada harga berpatutan pada Ramadan dan menjelang Aidilfitri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Aidilfitri Tahun 2026 Peringkat Terengganu di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Mohd Mufsi berkata pemeriksaan yang dijalankan memberi fokus kepada beberapa perkara, termasuk bekalan dan harga barang, jualan murah, penggunaan alat timbangan, penjualan barang tiruan, pematuhan perundangan halal serta penjualan barang keperluan hari raya. 

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya turut mempertingkatkan keberadaan 118 orang anggota penguat kuasa di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna termasuk bagi mewujudkan ruang persekitaran perniagaan yang selamat dan beretika. 

Selain itu, Mohd Mufsi berkata 58 Pegawai Pemantau Harga (PPH) KPDN Terengganu turut digerakkan bagi membantu pelaksanaan pemantauan harga di lapangan.

“KPDN Terengganu ingin mengingatkan semua peniaga agar terus mematuhi perundangan ditetapkan kerajaan terutama sepanjang  Ramadan dan menjelang Aidilfitri ini sebagai usaha mempromosikan amalan perniagaan beretika selaras dengan pengenalan konsep gerakan Berniaga Patuh Kod Etika dan Perundangan (Biz-BERKAT) oleh kementerian,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan