AM

Peniaga, DBKK Bekerjasama Kekalkan Kebersihan Bazar Ramadan

17/03/2026 05:25 PM

KOTA KINABALU, 17 Mac (Bernama) -- Disiplin dan kerjasama peniaga dalam menguruskan sisa pepejal antara faktor penting untuk mengekalkan kebersihan tapak bazar Ramadan, sekali gus memastikan persekitaran kawasan berniaga sentiasa rapi dan tersusun.

Tinjauan Bernama di Bazar Ramadan Lintasan Deasoka di sini, mendapati petugas Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) giat menjalankan kerja-kerja pembersihan sebelum operasi bermula, manakala peniaga pula mengambil inisiatif menyediakan tong sampah di setiap gerai masing-masing.

Rata-rata peniaga ditemui berpendapat pengurusan sisa pepejal di bazar Ramadan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada DBKK semata-mata, sebaliknya memerlukan komitmen bersama untuk memastikan tahap kebersihan kawasan berkenaan sentiasa optimum.

Peniaga makanan Mohd Syauqei Sahri, 35, berkata kerjasama antara DBKK dan peniaga menjadi kunci utama untuk memastikan sisa pepejal di bazar Ramadan dapat diurus secara efektif serta sistematik.

Beliau menghargai usaha DBKK menjalankan kerja-kerja membersih bazar Ramadan setiap hari selepas tamat beroperasi dan menyifatkannya sebagai langkah terbaik bagi memastikan kawasan bebas sampah.

“Kami turut menggalas tanggungjawab memastikan kebersihan kawasan gerai kerana berniaga bukan sehari tetapi sebulan sepanjang Ramadan. Oleh itu, kami saling bekerjasama dan jika ada terlepas pandang, kami akan mengambil peranan untuk membersihkannya,” katanya kepada Bernama.

Mohd Syauqie berkata tahap kebersihan dan pengurusan sisa pepejal di setiap bazar Ramadan perlu dijadikan sebagai keutamaan, khususnya yang beroperasi di tengah-tengah pusat bandar, sebagai usaha meningkatkan lagi imej bandaraya Kota Kinabalu dalam kalangan pelancong.

Beliau berkata bazar Ramadan di bandaraya itu bukan sahaja menjadi lokasi tumpuan penduduk setempat untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa atau “sungkai” tetapi turut menarik kehadiran banyak pelancong luar negara.

“Dari sudut pelancongan, bagi saya kebersihan (bazar Ramadan) penting supaya sedap mata memandang. Jadi, orang kenal Sabah (sebagai sebuah negeri) yang bersih.

“Dari segi pengendalian makanan pula, amalan kebersihan tidak boleh dipertikaikan sebab itu kami mengambil kursus pengendalian makanan,” katanya.

Seorang lagi peniaga makanan Nur Iesha Nor Faizal, 18, turut memuji inisiatif DBKK dalam mengurus sisa pepejal di bazar Ramadan bagi menjamin kebersihan sebelum dan selepas operasi.

Nur Iesha berkata pihak berkuasa tempatan itu juga membuat pemeriksaan mengejut di tapak bazar Ramadan termasuk memastikan setiap gerai peniaga menyediakan tong sampah.

“Sebelum mengemas barang setiap kali operasi tamat, kami akan pastikan kawasan sekitar bersih, tiada sampah dan lantai tidak berminyak. Kalau makanan terjatuh, kami akan membersihkannya,” katanya.

Beliau berkata tanggungjawab menjaga kebersihan tapak bazar Ramadan perlu dipikul bersama oleh semua pihak kerana ia turut memberi kesan kepada keyakinan pelanggan terhadap makanan dijual.

Justeru, penjual tidak boleh hanya memikirkan keuntungan, sebaliknya perlu menitikberatkan kebersihan demi keselesaan pengunjung dan mengekalkan reputasi perniagaan mereka.

“Tanggungjawab mengurus sisa pepejal dan kebersihan perlu digalas bersama kerana kami mahu mengekalkan imej gerai dan memastikan pelanggan selesa.

“Jika kawasan kotor, pelanggan enggan datang dan kami akan rugi. Justeru, kebersihan menjadi aspek paling penting dalam pengendalian makanan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan