Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 17 Mac (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur meneruskan prestasinya yang bercampur-campur untuk hari dagangan ketiga berturut-turut pada Selasa, seiring dengan niaga hadapan getah serantau, kata seorang peniaga.
Beliau berkata beberapa loji getah butadiena di Asia telah mengurangkan pengeluaran atau ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan berikutan kekurangan bahan mentah, yang boleh mendorong penggunaan getah asli sebagai pengganti dan berpotensi menyokong permintaannya.
Harga di niaga hadapan getah China dan Singapura kekal disokong oleh bekalan yang terhad dan harga minyak yang lebih tinggi, namun niaga hadapan getah Jepun susut dalam dagangan yang lengang hari ini menjelang hujung minggu yang panjang di Jepun.
Peniaga itu berkata sentimen pasaran kekal berhati-hati di tengah-tengah kebimbangan terhadap kesan inflasi susulan konflik yang berterusan di Asia Barat.
“Konflik yang melibatkan Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran telah memasuki minggu ketiga, mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan yang lebih meluas ke atas bekalan tenaga global apabila krisis itu terus menjejaskan laluan perkapalan minyak utama dan pasaran.
“Harga minyak meningkat lebih dua peratus pada awal Selasa, menghapuskan penurunan sebelumnya susulan kebimbangan terhadap bekalan apabila sebahagian besar Selat Hormuz kekal ditutup dan sekutu AS pula enggan menghantar kapal perang,” katanya kepada Bernama.
Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah, data ekonomi AS yang positif dan kebimbangan berterusan terhadap bekalan bahan mentah yang semakin terhad apabila pengeluar utama memasuki musim daun getah luruh.
Beliau juga berkata data Rizab Persekutuan menunjukkan pengeluaran sektor pembuatan AS meningkat 0.2 peratus pada Februari, selepas kenaikan 0.8 peratus yang disemak naik pada Januari.
Pada 3 petang, harga Getah Mutu Malaysia (GMM) 20 susut dua sen kepada 780 sen sekilogram manakala lateks pukal naik lima sen kepada 675 sen sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial