JENAYAH & MAHKAMAH

Ops Serkap: 28 Pendatang Asing Ditahan Di Sekitar Kota Bharu

22/02/2026 09:48 PM

KOTA BHARU, 22 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen (JIM) Kelantan menahan 28 pendatang tanpa izin dalam Ops Serkap yang dijalankan di beberapa lokasi di daerah ini Jumaat lepas.

Timbalan Pengarah JIM Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata operasi di kawasan parkir sebuah hotel di Jalan Kuala Krai, Mukim Padang Enggang serta di Wakaf Che Yeh bermula kira-kira 7 pagi itu disertai 11 pegawai penguat kuasa.

Beliau berkata pasukan serbuan telah memantau beberapa kenderaan mewah dipercayai digunakan untuk mengangkut pendatang tanpa izin ke luar Kelantan sebelum menyerbu dan membuat halangan di laluan masuk serta keluar kawasan parkir hotel itu.

“Terdapat beberapa pendatang tanpa izin dan pemandu kenderaan cuba melarikan diri namun mereka berjaya ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Akhtarulhaq berkata kesemua pendatang tanpa izin ditahan itu membabitkan 20 warga Myanmar terdiri daripada 12 wanita dan lapan lelaki berumur antara 17 hingga 40 tahun.

Beliau berkata mereka mengaku baru memasuki negara ini melalui jalan laut tidak diwartakan manakala seorang lelaki warga Myanmar berumur 31 tahun dipercayai sebagai perancang utama turut ditahan.

"Hasil pemeriksaan lanjut dengan bantuan pihak hotel, pasukan serbuan menahan lima lagi lelaki warga Myanmar berumur 25 hingga 36 tahun serta dua lelaki warga China berumur 32 tahun,” katanya menambah kesemua lelaki terbabit mengaku sedang menunggu ejen untuk membawa mereka menyeberang sempadan bagi pulang ke negara asal.

Beliau berkata pendatang tanpa izin dan empat kereta iaitu Proton X90, Honda HR-V, Nissan Serena dan Perodua Aruz dibawa ke Pejabat Imigresen Kelantan untuk siasatan lanjut dengan 27 daripada individu itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala seorang lelaki mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan