JENAYAH & MAHKAMAH

Pembantu Operasi JKR Didakwa 39 Pertuduhan Terima Suapan RM30,000

23/02/2026 04:50 PM

TAWAU, 23 Feb (Bernama) -- Seorang pembantu operasi Jabatan Kerja Raya (JKR) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 39 pertuduhan menerima suapan berjumlah RM30,000 sebagai dorongan supaya tidak memantau kerja penyelenggaraan jalan di daerah ini antara 2020 hingga 2022.

Tertuduh, Abdul Rahim Salleh, 59, membuat pengakuan itu selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elsie Primus.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan daripada pengurus akaun dan penyelia tapak Syarikat Caserina Development Sdn Bhd berjumlah antara RM200 hingga RM1,500 bagi setiap transaksi yang dimasukkan ke dalam akaun bank peribadinya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 1 Mei 2020 hingga 1 Ogos 2022 di sebuah bank di Jalan Utara, di sini.

Berdasarkan pertuduhan, suapan berkenaan adalah sebagai dorongan supaya tidak memantau dan menyelia kerja berkaitan Kontrak No. HQ.46/2019(S), iaitu penyelenggaraan Jalan Sungai Mas, Jalan Maria dan Jalan Mull, Tawau, yang dilaksanakan syarikat terbabit.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM40,000 dengan deposit RM15,000 serta dua penjamin tempatan.

Mahkamah turut menetapkan beberapa syarat tambahan, iaitu tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Tawau sebulan sekali, tidak mengganggu saksi pendakwaan dan dilarang memohon pasport atau dokumen perjalanan antarabangsa.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar, manakala tertuduh diwakili peguam Nur Hafizah Husna Elahab.

Mahkamah menetapkan 11 Mei ini untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan