AM

Parlimen: RUU Asing Peranan Peguam Negara-Pendakwa Raya Dibentang Bacaan Kali Pertama

23/02/2026 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Rang Undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 yang bertujuan untuk mengasingkan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan di Dewan Rakyat bagi bacaan kali pertama hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said yang membentangkan RUU itu berkata bacaan kali kedua juga akan dibentangkan pada persidangan kali ini.

Menurut naskhah biru di Parlimen, RUU itu bertujuan meminda Perlembagaan Persekutuan bagi mengadakan peruntukan pelantikan seorang Pendakwa Raya selaras dengan pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.

Ia juga bertujuan mengadakan peruntukan lindung jamin bagi Pendakwa Raya dan meminda perkara yang berkaitan selaras dengan pengasingan peranan berkenaan.

RUU itu juga bagi meminda Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kuasa pengampunan yang menggariskan bahawa Peguam Negara Persekutuan ialah anggota Lembaga Pengampunan bagi setiap negeri.

"Peguam Negara juga mengemukakan pendapat bertulis kepada Lembaga Pengampunan. Peranan Peguam Negara dalam Perkara 42 akan diambil alih oleh Pendakwa Raya," menurut naskhah itu.

Selain itu, RUU tersebut meminda Perkara 132 Perlembagaan Persekutuan berkaitan perkhidmatan awam, yang memperuntukkan bahawa jawatan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tidak menjadi sebahagian daripada perkhidmatan awam Persekutuan.

Perkara 138 Perlembagaan Persekutuan turut dipinda susulan fungsi tambahan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan berikutan pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara.

Pindaan di bawah Fasal 4 berkenaan antaranya bertujuan memasukkan fasal baharu ke dalam Perkara 138, bagi memperuntukkan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan menjalankan apa-apa fungsi lain sebagaimana diperuntukkan di bawah mana-mana perkara lain di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

"Selain fungsi sedia ada, dengan cadangan pindaan untuk memasukkan Perkara 145a, Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan juga akan menjalankan fungsi tambahan yang melibatkan pelantikan, representasi bagi pemecatan dan syor bagi penggantungan Pendakwa Raya," menurut naskhah biru tersebut.

RUU itu turut bertujuan menambah tiga anggota ex officio ke dalam Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan iaitu Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya, Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dan Peguam Cara Negara.

"Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak dimasukkan sebagai anggota tetap kerana Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Malaya dan Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak merupakan Hakim yang menyelia secara langsung mahkamah bawahan," menurut naskhah itu.

Berikutan daripada pengasingan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara, naskhah biru itu memaklumkan Peguam Negara tidak lagi berada dalam kalangan anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan dan fungsi sebagai ketua perkhidmatan akan dijalankan Peguam Cara Negara.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan