AM

Tahun Baharu Cina: KTMB Sedia 46,000 Tiket Tambahan Emuplus

11/02/2026 07:12 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) menyediakan tambahan 46,000 tiket perkhidmatan tren EMUPlus bagi menampung permintaan tinggi sempena cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Ketua Pegawai Operasi KTMB Afzar Zakariya berkata sebelum ini sebanyak 132,000 tiket ditawarkan bagi tempoh perjalanan dari 13 hingga 22 Feb, dan kesemuanya telah habis dijual.

“Sebanyak 46,000 tiket EMUPlus mula dijual sejak tengah malam tadi bagi memenuhi keperluan penumpang sempena Tahun Baharu Cina,” katanya pada program ‘Malaysia Petang Ini: Tambahan ETS Tampung Lonjakan Penumpang’ terbitan Bernama TV hari ini.

Beliau berkata penambahan kapasiti itu disokong oleh penerimaan tujuh daripada 10 set tren ETS3 baharu serta perkhidmatan tambahan EMUPlus bagi laluan KL Sentral–Ipoh, yang mengambil masa perjalanan tiga jam 15 minit dengan tambang RM35.

Afzar berkata laluan JB Sentral-KL Sentral yang merupakan laluan terbaharu dalam rangkaian ETS merupakan antara sektor paling mendapat sambutan kerana melibatkan kawasan tumpuan ekonomi dan pelancongan termasuk Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Singapura.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan