AM

Sapuan Berus Pembawa Tuah: Seni Kaligrafi Cina Terus Dipelihara Di Kelantan

11/02/2026 11:44 AM

Oleh Habsah Ismail

KOTA BHARU, 11 Feb (Bernama) -- Dekorasi Tahun Baharu Cina yang menampilkan kaligrafi bukan sekadar coretan dakwat hitam artistik di atas kertas merah, sebaliknya melambangkan satu ritual tradisi bagi sesebuah keluarga menyampaikan harapan terhadap kemakmuran, keharmonian dan pembaharuan, yang dipamerkan dengan jelas di pintu masuk rumah ketika menyambut ketibaan tahun baharu.

Di Kelantan, seni warisan berusia ribuan tahun itu terus dipelihara dan diwarisi oleh para pengamalnya, merentas budaya dan generasi, apabila kaligrafi Cina dijadikan jambatan yang menyatukan tradisi, kepercayaan dan nilai kemanusiaan dalam satu sapuan berus yang penuh jiwa.

Bendahari Persatuan Seni Tulis Kelantan Yeap Keng Hwa berkata kaligrafi yang lazim dihasilkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina dikenali sebagai chun lian atau kuplet musim bunga, iaitu tulisan berpasangan yang ditampal di kiri dan kanan pintu rumah manakala tulisan pendek di bahagian atas dikenali sebagai hengpi.

Beliau berkata penggunaan kertas merah melambangkan semangat, keberanian dan tuah, manakala ayat-ayat yang ditulis lazimnya membawa maksud perangsang serta doa untuk memulakan tahun baharu dengan lebih baik.

“Tulisan ini bukan sekadar hiasan, malah membawa ucapan selamat, harapan dan doa. Untuk Tahun Kuda misalnya, banyak ayat mengandungi elemen kuda yang melambangkan kepantasan, kejayaan dan tuah,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Yeap berkata permintaan terhadap khidmat penulisan kaligrafi biasanya meningkat kira-kira satu hingga dua bulan sebelum Tahun Baharu Cina, dengan jemputan diterima daripada sekolah, pusat beli-belah, persatuan serta pasar malam yang menjual barangan perayaan.

Katanya beliau turut dijemput mengadakan demonstrasi dan bengkel kaligrafi di beberapa lokasi termasuk Gua Musang, Kuala Krai serta beberapa pasar raya dan program komuniti di seluruh Kelantan.

Yeap berkata beliau telah bergiat aktif dalam seni kaligrafi selama hampir 20 tahun, meskipun minat terhadap bidang itu bermula sejak kecil hasil dorongan guru sekolah rendah dan menengah yang melihat potensi dalam tulisannya.

“Dulu saya diminta menghantar tulisan tiga kali seminggu. Guru akan memberi komen, menunjukkan mana yang cantik dan apa yang perlu diperbaiki. Pujian itulah yang menanam semangat,” katanya.

Beliau berkata pada peringkat awal, perasaan gementar sering menghantui terutama apabila menulis di hadapan orang ramai, namun keyakinan itu terbina melalui latihan berterusan dan pengalaman.

Yeap berkata kemahiran paling penting dalam kaligrafi bukan sekadar teknik, sebaliknya kesatuan, aliran semula jadi dan ‘roh’ tulisan yang terhasil daripada jiwa penulis.

“Tulisan mesti kelihatan sebagai satu kesatuan dan tidak boleh satu perkataan cantik, yang lain terpisah. Kesederhanaan itu paling sukar, kerana yang terlalu ringkas sering menjadi paling rumit,” katanya.

Beliau berkata inspirasi diperoleh secara spontan dan penulisan perlu dilakukan dalam satu aliran tanpa gangguan agar hasilnya kelihatan hidup dan berjiwa.

Yeap turut menekankan kepentingan inovasi dalam kaligrafi, termasuk membentuk tulisan menyerupai simbol tahun zodiak seperti kuda atau ular tanpa menghilangkan struktur asal aksara Cina.

Mengenai generasi muda, beliau berkata minat terhadap seni itu masih wujud, termasuk dalam kalangan belia awal 20-an dari Pulai, Gua Musang yang aktif berhubung serta membuat analisis bersama mengenai keindahan tulisan.

“Kami mengadakan kelas kaligrafi sebulan sekali. Harapan kami seni ini diteruskan sebagai warisan dan jambatan budaya,” katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Seni Tulis Kelantan Yeoh Eng Chew berkata kaligrafi Cina merupakan kebudayaan tradisional yang berusia ribuan tahun dan kekal relevan hingga kini.

Beliau berkata hui chun atau chun lian ialah elemen penting sambutan Tahun Baharu Cina yang melambangkan harapan terhadap kejayaan, kemakmuran dan kesejahteraan keluarga serta perniagaan.

“Empat alat utama dalam kaligrafi Cina dikenali sebagai ‘Empat Harta Karun’, iaitu berus, dakwat, kertas dan batu dakwat,” katanya.

Yeoh yang berasal dari Pulau Pinang dan menetap di Kelantan sejak 1985 berkata meskipun teknologi digital semakin berkembang, seni kaligrafi kekal relevan sebagai medium penyampaian nilai, budaya dan identiti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan