JENAYAH & MAHKAMAH

Ceroboh Kuil Di Rawang: Polis Tahan Empat Lelaki

11/02/2026 11:57 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Polis menahan empat lelaki bagi membantu siasatan kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang, Selangor hari ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata penahanan tersebut dibuat susulan aduan yang diterima daripada seorang lelaki tempatan berhubung kejadian meroboh kuil yang dibina tidak mengikut peraturan di kawasan terbabit.

“Hasil siasatan mendapati sebahagian kuil telah dirobohkan tanpa ada perbincangan serta tiada pemberitahuan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pengadu sebelum aktiviti pembersihan tersebut dilakukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazeli berkata empat lelaki yang ditahan itu berusia 26 hingga 39 tahun dan pihaknya turut merampas sebuah traktor pertanian (backhoe).

Beliau berkata satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 427/295/504/447 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi serta kekal rasional dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mencetuskan ketegangan kaum, agama atau mengganggu ketenteraman awam.

“Polis memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara profesional, telus dan adil berlandaskan lunas undang-undang,” katanya.

Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Eqhmal Hakimi Zainodin 013-611 7371 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polid Daerah Gombak 03-6126 2222.

Terdahulu, media melaporkan seorang aktivis kempen membantah kuil yang dibina tidak mengikut peraturan ditahan polis selepas disyaki merobohkan kuil di Taman Rawang Perdana awal pagi tadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan