JENAYAH & MAHKAMAH

JBPM Tidak Kompromi Salah Laku Anggota

30/01/2026 09:07 PM

PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk salah laku dan pelanggaran integriti dalam kalangan pegawai dan anggotanya.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata jabatan itu melaksanakan pendekatan berstruktur melalui Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) bagi memastikan setiap aduan ditangani secara telus dan berkesan, serta menetapkan petunjuk prestasi utama (KPI) bagi tempoh pengendalian aduan supaya siasatan tidak berlarutan terlalu lama.

"Kes salah laku yang dilaporkan kepada jabatan dikendalikan melalui tiga peringkat, iaitu peringkat negeri, kebangsaan dan ada juga peringkat yang lebih tinggi yang saya, bersama dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam, duduk dalam lembaga ini.

"Kita tidak mahu aduan disiplin mengambil masa bertahun-tahun kerana boleh menjejaskan keyakinan pelapor dan imej jabatan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan 2026 di sini hari ini.

Nor Hisham berkata JBPM turut melantik marsyal integriti di setiap negeri dan merancang untuk memperluas keberadaan pegawai itu pada peringkat zon.

Beliau berkata marsyal integriti dilatih dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan berfungsi sebagai saluran selamat kepada pemberi maklumat.

"Yang paling penting bagi saya ialah marsyal integriti ini membawa imej bahawa pegawai ataupun orang awam rasa yakin untuk melaporkan (kes salah laku)," katanya.

Sementara itu, semasa berucap Nor Hisham menggesa anggota JBPM untuk menjaga imej perkhidmatan awam, memperkukuh amalan tadbir urus, mempertingkatkan ketelusan dan memulihkan kembali kepercayaan rakyat.

"Setiap daripada kita perlu menjiwai bahawa seragam yang disarung dan pangkat yang terletak di bahu bukanlah sekadar simbol, tetapi mencerminkan imej negara, integriti, profesionalisme dan tanggungjawab yang telah diamanahkan.

"Jangan sewenang-wenangnya kita palitkan seragam ini dengan debu kotoran yang boleh mencalarkan maruahnya dan pakailah dengan rasa bangga, penuh kehormatan dan bertanggungjawab," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan