PUTRAJAYA, 30 Jan (Bernama) -- Kerajaan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana penjawat awam yang didapati menyalahgunakan kuasa atau terlibat dalam rasuah termasuk mereka daripada peringkat pengurusan tertinggi, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Beliau berkata susulan perkembangan terbaharu melibatkan tangkapan dan siasatan berkaitan salah guna kuasa, perkhidmatan awam akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa untuk memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh dan telus.
“Perkhidmatan awam tidak akan sama sekali berkompromi dalam mengambil tindakan terhadap mana-mana penjawat awam mengikut lunas perundangan ditetapkan sekiranya didapati bersalah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shamsul Azri berkata prinsip menolak salah guna kuasa, rasuah dan kecurangan tadbir urus penting bagi memastikan kredibiliti perkhidmatan awam tidak dicemari sekali gus mengelakkan tindakan yang boleh menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi teras negara.
Beliau berkata nilai integriti perlu kekal menjadi teras penyampaian perkhidmatan awam yang berkesan termasuk dalam usaha mengurangkan ketirisan hasil negara serta mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara selaras aspirasi Kerajaan Malaysia MADANI.
Dalam tempoh setahun kebelakangan ini, agensi penguatkuasaan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat tindakan tegas dalam isu berkaitan salah laku dan rasuah yang menunjukkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh integriti perkhidmatan awam.
SPRM melancarkan pelbagai operasi berprofil tinggi melibatkan pegawai kanan pelbagai kementerian dan agensi termasuk kes berkaitan pengurusan kewangan, perolehan serta salah guna kuasa pada peringkat pengurusan tertinggi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berulang kali menegaskan integriti merupakan tunjang utama dalam usaha memulihkan keyakinan rakyat serta pelabur, dan tindakan tegas tanpa mengira pangkat perlu dilakukan bagi memastikan tadbir urus kerajaan tidak terjejas oleh elemen rasuah atau ketirisan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial