DUNIA

Niaga Hadapan MSM Ditutup Rendah, Dipengaruhi Kelemahan Pasaran Minyak Kacang Soya

30/01/2026 10:05 PM

Oleh K. Naveen Prabu

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah pada Jumaat berikutan kelemahan yang dialami pasaran minyak kacang soya Chicago, kata peniaga.

Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata pengukuhan ringgit turut mempengaruhi sentimen pasaran.

“Kami mendapati paras sokongan MSM adalah melebihi RM4,200 satu tan manakala paras rintangan pada RM4,350 satu tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics, Sathia Varqa berkata niaga hadapan minyak sawit mencatatkan penurunan berikutan aktiviti pengambilan keuntungan menjelang hujung minggu, selepas meningkat ketara pada awal minggu kepada paras tertinggi dalam tempoh tiga bulan.

“Kontrak paling aktif adalah bagi serahan April 2026 yang melonjak RM143 daripada angka ketika dibuka pada Isnin atau 3.43 peratus sehingga Khamis, didorong oleh faktir asas jangka masa pendek iaitu eksport lebih tinggi dan pengeluaran yang lebih rendah,” katanya.

Ketika akhir dagangan, kontrak bagi serahan Februari 2026 susut RM60 kepada RM4,160 satu tan, Mac 2026 turun RM89 kepada RM4,209 satu tan manakala April 2026 berkurangan RM88 kepada RM4,229 satu tan.

Mei 2026 susut RM84 kepada RM4,228 satu tan, Jun 2026 menguncup RM79 kepada RM4,213 satu tan dan Julai 2026 turun RM72 kepada RM4,194 satu tan.

Jumlah dagangan turun kepada 84,668 lot daripada 97,561 lot pada Khamis, manakala kepentingan terbuka meningkat kepada 220,712 kontrak daripada 218,191 kontrak.

Harga fizikal MSM bagi Februari Selatan susut RM40 kepada RM4,200 satu tan daripada harga semalam.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan