JENAYAH & MAHKAMAH

Skandal Rasuah ATM: Empat Pegawai Tertinggi Diheret Ke Mahkamah, Bukti Tiada Siapa Kebal

30/01/2026 04:14 PM

KUALA LUMPUR, 30 Jan (Bernama) -- Pendakwaan terhadap empat pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam tempoh kurang dua minggu membuktikan tiada siapa kebal daripada undang-undang, termasuk pimpinan tertinggi apabila membabitkan kes rasuah dan salah guna kuasa.

Kes ini membabitkan salah guna kuasa dalam perolehan ketenteraan dan pengurusan dana kebajikan, termasuk kes berkaitan Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) serta pembekalan di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF). 

Pendakwaan bermula pada 22 Jan apabila bekas Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan isterinya, Salwani Anuar @ Kamaruddin didakwa di Mahkamah Sesyen berasingan di sini atas pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan lebih RM2.19 juta.

Muhammad Hafizuddeain, 58, mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan bernilai lebih RM2.12 juta, manakala Salwani, 27, menafikan empat pertuduhan sama membabitkan RM77,000.

Beliau merupakan PTD pertama yang didakwa berkaitan kes pengubahan wang haram berkaitan tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).

Sehari kemudian pada 23 Jan, Muhammad Hafizuddeain sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram bernilai RM145,000.

Pada tarikh sama (23 Jan), bekas Panglima Angkatan Tentera (PAT) Tan Sri Mohd Nizam Jaffar, 59, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas empat pertuduhan menggunakan kedudukan dan menerima wang RM752,481.90, selain satu pertuduhan pecah amanah membabitkan dana RM3 juta.

Pendakwaan berterusan pada 26 Jan apabila Salwani didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu atas dakwaan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM5,000.

Semalam (29 Jan), bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Datuk Mohd Razali Alias, 60, pula didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tiga pertuduhan menerima suapan wang berjumlah USD20,000 serta bayaran keseluruhan RM64,600 bagi pembelian tiket penerbangan ke luar negara untuk isterinya.

Terbaharu hari ini, Ketua Staf Markas Angkatan Bersama Mejar Jen Datuk Mohamed Fauzi Kamis, 56, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan wang Tabung Kebajikan Angkatan Tentera (TKAT) berjumlah RM5 juta.

Kes ini merupakan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bermula sejak 7 Okt 2025 dengan 23 individu ditahan termasuk dua pegawai tinggi dan empat pegawai kanan ATM, bagi membantu siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa melibatkan isu perolehan serta penggunaan dana awam.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki menegaskan siasatan kes itu sensitif kerana melibatkan pegawai berpangkat tinggi serta kepentingan awam, khususnya dakwaan rasuah berkaitan pembekalan TKAT dan MINDEF.

Isu itu turut mendapat perhatian Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim yang menegaskan rasuah harus diperangi secara besar-besaran tanpa perlindungan undang-undang, termasuk terhadap pegawai berpangkat tinggi. 

“Saya pernah menyebut sebelum ini bahawa saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya menemuinya. Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hingga ke peringkat tertinggi,”  titah Seri Paduka Baginda.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menegaskan pendirian kerajaan bahawa tiada kompromi terhadap rasuah sama ada melibatkan kawan atau lawan bagi memastikan dana awam digunakan secara berhemah. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan