AM

Kerajaan Kaji Penyaluran Bantuan Sejahtera MADANI Pelajar Sekolah Menengah

12/01/2026 12:06 PM

KUCHING, 12 Jan (Bernama) -- Kerajaan sedang mengkaji kaedah penyaluran bantuan pendidikan di bawah Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia (Sejahtera MADANI) khusus untuk pelajar sekolah menengah, termasuk pelaksanaannya dalam bentuk sokongan kewangan berstruktur sebagai persediaan ke peringkat pendidikan lebih tinggi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud berkata bantuan berkenaan, yang menyasarkan pelajar daripada keluarga miskin dan miskin tegar, masih dalam peringkat perbincangan dan dijangka dilaksanakan tahun ini.

“Bantuan untuk pelajar sekolah menengah sedang diperhalusi, termasuk kemungkinan disalurkan dalam

bentuk barangan atau tabungan pendidikan. Perinciannya akan dimuktamadkan kemudian.

“Kita akan mengenal pasti mekanisme pelaksanaannya… ini antara usaha kerajaan untuk menghapuskan kemiskinan tegar, khususnya dalam kalangan golongan memerlukan di negara ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Bantuan Awal Persekolahan (BAP) 2026 Sarawak di Sekolah Menengah Kebangsaan Petra Jaya, hari ini.

Mustapha berkata bagi tujuan itu, kerajaan turut mempertimbangkan kerjasama dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi mewujudkan tabungan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) untuk pelajar sekolah menengah yang terlibat.

Menurutnya, pendekatan berkenaan bertujuan membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah membuat persediaan awal untuk melanjutkan pengajian ke universiti atau ke peringkat pendidikan lebih tinggi.

Terdahulu, dalam ucapannya, Mustapha berkata sebanyak RM370,000 diperuntukkan menerusi Inisiatif Sejahtera MADANI bagi Bantuan Pendidikan Fasa Satu, melibatkan 740 isi rumah yang berdaftar sebagai miskin dalam sistem eKasih.

Katanya, bantuan itu memberi manfaat kepada masing-masing 370 isi rumah di peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah, sebagai usaha menyantuni keperluan pendidikan golongan berpendapatan rendah.

“Bagi penerima di peringkat sekolah rendah, bantuan disalurkan dalam bentuk baucar bernilai RM500 untuk pembelian pakaian dan peralatan sekolah, manakala bantuan pendidikan bagi peringkat sekolah menengah yang masih dalam peringkat pelaksanaan turut dirancang pada nilai yang sama,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata Kerajaan MADANI turut menyalurkan BAP 2026 berjumlah kira-kira RM62 juta kepada 413,380 murid melibatkan 1,460 buah sekolah di seluruh Sarawak.

Menurutnya, BAP 2026 sebanyak RM150 bagi setiap murid itu bertujuan meringankan beban perbelanjaan ibu bapa dan penjaga pada awal sesi persekolahan, sekali gus memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak di negeri ini.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan