KUALA LUMPUR, 13 Jan (Bernama) -- Kebangkitan Sabah FC pada lewat permainan tidak cukup untuk menafikan kemenangan 3-2 Kelantan The Real Warriors (TRW) FC pada perlawanan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam ini.
Kelantan TRW membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi Alexandre Yeoule yang pantas menolak masuk bola muntah selepas penjaga gol Sabah FC Damien Li gagal menangkap kemas percubaan awal dalam kotak penalti.
Sabah FC bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Darren Lok menyempurnakan hantaran lintang rakan sepasukan dari sebelah kanan tiga minit kemudian.
Pasukan tuan rumah kembali di hadapan pada minit ke-16 menerusi tandukan Simen Alexander susulan kekalutan dalam kotak penalti Sabah FC sebelum Asraf Aliffudin menambah gol ketiga pada minit ke-23 hasil penyudah tenang selepas menerima hantaran panjang dalam kawasan penalti.
Pada separuh masa kedua, Sabah FC yang beraksi dengan jersi biru putih tampil lebih agresif apabila melancarkan asakan bertali arus ke kawasan pertahanan tuan rumah.
Gol kedua Sabah FC akhirnya hadir pada masa kecederaan (90+5) menerusi sepakan penalti yang disempurnakan pemain import Ajdin Mujagic selepas bola terkena tangan pemain Kelantan.
Sementara itu, Terengganu FC (TFC) berjaya mengutip tiga mata penuh selepas menang tipis 1-0 ke atas Brunei DPMM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA).
Babak pertama menyaksikan pasukan tuan rumah yang menguasai permainan terlebih dahulu menguji gawang lawan melalui percubaan leret Mohamad Saiful Jamaluddin yang sedikit melencong ke sebelah kanan gawang pada minit ke-11.
Pasukan pelawat cuba membuat serangan balas dan memperoleh peluang untuk mencetak gol pertama pasukan namun percubaan Miguel Oliveira pada minit ke-14 berjaya ditangkap kemas penjaga gol Muhammad Rahadiazli Rahalim.
Ketika babak pertama hampir berakhir tanpa jaringan, pasukan tuan rumah mengejutkan DPMM FC dengan gol pertama pada minit ke-42 hasil jaringan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob yang melakukan larian solo dari tengah padang.
Bersambung babak kedua, skuad kendalian Tengku Hazman Raja Hassan yang mendahului 1-0 hampir menambah jaringan pada minit ke-52 tetapi percubaan Shervoni Mabatshoev berjaya diselamatkan penjaga gol DPMM FC Muhammad Haimie Abdullah Nyaring.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial