AM

Terengganu Terima RM29 Juta Baik Pulih Infrastruktur Pelancongan Pada 2025

01/01/2026 02:44 PM

KUALA NERUS, 1 Jan (Bernama) -- Kerajaan Negeri Terengganu menerima peruntukan RM29 juta daripada Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada 2025 bagi membaik pulih infrastruktur serta kemudahan asas di pulau serta pantai di seluruh negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri Datuk Razali Idris berkata projek baik pulih itu sebagai persiapan untuk menjayakan kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026) yang bermula hari ini.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri setakat ini telah menerima geran peruntukan sebanyak RM15 juta daripada MOTAC untuk tujuan sama pada 2026.

“Peruntukan itu diterima setelah kerajaan negeri mengemukakan permohonan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan acara Sambutan di Pintu Masuk Seluruh Negara dan Hab Pengangkutan Utama Sempena TMM 2026 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini hari ini.

Razali berkata setakat ini melalui peruntukan 2025, lebih 70 peratus kerja infrastruktur dan kemudahan asas di pulau serta pantai telah disiapkan antaranya pembaikan jeti usang di pulau peranginan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan