AM

Tragedi Lemas: Nor Baizura Teruja Ke Pantai Berkelah Dengan Keluarga

01/01/2026 07:46 PM

DUNGUN, 1 Jan (Bernama) -- Mangsa lemas, Nor Baizura Shafie sering mengajak ahli keluarganya berkelah di Pantai Sura Tengah, dekat sini setiap kali pulang bercuti ke kampung.

Nor Baizura, 39, yang menetap di Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru pulang ke Kampung Balai Besar, di sini sejak 26 Dis lepas dan dia kelihatan teruja ke pantai itu bersama-sama ahli keluarganya pada 7.30 pagi tadi.

Adik mangsa, Nur Mashitah, 22, berkata sebanyak 15 ahli keluarga termasuk tiga anak kakaknya itu yang berusia tujuh hingga 10 tahun mandi di tepi pantai setelah mendapati keadaan ombak ketika itu tenang.

"Saya hanya menyedari kakak lemas selepas melihat tangannya terkapai-kapai ketika dihanyut ombak.

"Saya jerit meminta abang saya Mohd Fazir membantu dan dia bergegas berenang membantu kakak. Abang sudah dapat capai tangan kakak, namun mereka terpisah akibat dipukul ombak dan kedua-duanya dilihat tenggelam timbul sebelum dibawa arus," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Dungun di sini hari ini.

Nur Mashitah berkata seorang daripada ahli keluarganya yang berada di tepi pantai menghubungi polis untuk meminta bantuan kecemasan.

Katanya, pasukan penyelamat yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) selepas itu berjaya menemukan mayat Nor Baizura kira-kira 200 meter dari lokasi kakaknya lemas.

"Sementara itu, abang pula masih hilang dan gagal dijumpai hingga lewat petang ini," katanya dan menambah jenazah Nor Baizura akan dikebumikan selepas selesai bedah siasat di Hospital Dungun.

Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Penolong Kanan Penguasa Bomba Shahrizal Shamsudin berkata operasi mencari dan menyelamat Mohd Fazir, 37, masih lagi diteruskan.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan