AM

Fahmi Dikurniakan Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Selangor

11/12/2025 12:18 PM

KLANG, 11 Dis (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dikurniakan Darjah Kebesaran Dato’ Paduka Mahkota Selangor (D.P.M.S.) yang membawa gelaran Dato' bersempena Hari Keputeraan ke-80 Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini.

Fahmi merupakan antara 98 individu yang menerima Darjah dan Bintang Kebesaran pada istiadat yang berlangsung di Balairung Seri Istana Alam Shah di sini.

Selain Fahmi, Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna Selangor Datuk Rizam Ismail dikurniakan darjah kebesaran sama yang membawa gelaran Dato’ bagi lelaki dan Datin Paduka bagi wanita daripada keseluruhan 16 penerima Darjah Kebesaran D.P.M.S.

Terdahulu, Sultan Selangor berkenan berangkat bagi mengurniakan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan baginda.

Berangkat sama Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah serta isteri Datin Paduka Seri Afzaa Fadini Abdul Aziz.

Pada istiadat itu, anakanda Sultan Sharafuddin iaitu Tengku Zerafina mendahului senarai penerima Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena Hari Keputeraan ke-80 baginda.

 -- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan