PUTRAJAYA, 17 Mac (Bernama) -- Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 akan diadakan dari 5 hingga 7 Jun ini di Dataran Putrajaya, di sini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata perincian atau maklumat lanjut berhubung sambutan itu akan diumumkan oleh pihak urus setia dalam masa terdekat.
“Pada waktu ini, maklumat yang telah diberikan kepada Jemaah Menteri adalah seperti yang saya sebutkan tadi dan saya percaya dalam masa yang tidak terlalu lama, pihak urus setia akan mengeluarkan maklumat tambahan,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.
Beliau berkata perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri yang turut meneliti hasil mesyuarat Majlis TVET kali ke-10 yang diadakan pada 5 Mac lepas.
"Mesyuarat Majlis TVET itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi," katanya.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata antara perkara dibentangkan ialah peningkatan ketara jumlah peserta program TVET di seluruh negara yang melonjak sebanyak 500 peratus berbanding sebelum ini, sambil menyifatkan perkara itu sebagai pencapaian yang amat membanggakan.
Selain itu, beliau berkata Kementerian Pengangkutan turut membentangkan pelaksanaan pengukuhan program TVET melibatkan bakal pesara Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
"Sebanyak 100 individu (pesara ATM) akan diserap ke sektor logistik dengan gaji hingga RM5,000. Jadi, perkara ini antara yang sedang diusahakan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial