AM

Lebih 100 Ahli Skuad Bantu Mula Operasi Bantu Pengguna Jalan Raya Balik Beraya

17/03/2026 08:24 PM

KUALA KRAI, 17 Mac (Bernama) -- Lebih 100 ahli Skuad Bantu akan memulakan operasi memberikan perkhidmatan kepada pengguna jalan raya, khususnya perantau yang pulang ke kampung dan mengalami kerosakan kenderaan bermula malam esok hingga pagi hari raya pertama.

Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri Hilmi Abdullah berkata operasi bantuan itu tertumpu di laluan utama dari sempadan Gua Musang termasuk Kampung Telekong di sini dengan penekanan diberikan pada waktu malam kerana kebanyakan bengkel kenderaan sudah tutup.

“Kami menyediakan bantuan kepada pengguna jalan raya, terutama perantau termasuk membaiki kerosakan kecil dan membantu mereka yang kehabisan minyak. Skuad Bantu mempunyai peralatan mencukupi serta dibarisi anggota mahir bagi memastikan bantuan dapat disalurkan dengan cepat dan berkesan.

“Dalam beberapa kes sebelum ini juga, kami turut membantu menghantar perantau pulang ke destinasi sebelum mereka kembali mengambil kenderaan yang rosak,” katanya selepas Majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Aidilfitri dan Pelancaran Skuad Bantu 2026 di Kampung Pahi di sini hari ini.

Hilmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri berkata MKJR Kelantan terus mempergiat kempen keselamatan jalan raya khususnya menjelang musim perayaan.

“Sepanjang tahun lepas, sebanyak 13,784 kes kemalangan dilaporkan di seluruh Kelantan dengan 309 daripadanya melibatkan kematian dan 113 kes menyebabkan kecederaan parah.

“Sehubungan dengan itu, saya menyeru semua pengguna jalan raya agar lebih berhemah serta mematuhi peraturan bagi mengelakkan tragedi, terutama menjelang sambutan Aidilfitri,” katanya.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan