JENAYAH & MAHKAMAH

Waspada Perangkap Keldai Dadah Di Media Sosial - Lee Lam Thye

08/11/2025 02:49 PM

KUALA LUMPUR, 8 Nov (Bernama) -- Rakyat Malaysia diingatkan supaya sentiasa berwaspada terhadap kegiatan sindiket dadah yang kini menggunakan platform media sosial untuk merekrut individu sebagai keldai dadah.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata sindiket berkenaan kini semakin licik dan kreatif dengan memperdaya mangsa melalui platform seperti TikTok, Instagram dan Facebook, menawarkan ganjaran wang yang mudah, percutian percuma, pekerjaan penghantaran dengan upah lumayan. 

“Tidak arif tentang undang-undang bukanlah alasan. Sesiapa yang ditahan membawa dadah, walaupun mendakwa tidak mengetahui kandungannya masih boleh dikenakan hukuman mati mengikut undang-undang Malaysia atau penjara seumur hidup di luar negara.

“Tiada sebarang tawaran dalam talian yang berbaloi untuk nyawa, maruah dan kebebasan anda dijadikan galang ganti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau memuji tindakan pantas dan berkesan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang menahan empat individu yang cuba menyeludup ganja bernilai RM8.3 juta ke Manchester, United Kingdom.

“Kes itu membuka mata kita bahawa sindiket dadah kini mengeksploitasi media sosial untuk memerangkap rakyat Malaysia menjadi keldai dadah,” katanya.

Lee menasihatkan rakyat Malaysia supaya mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelak menjadi mangsa, termasuk jangan sesekali bersetuju membawa atau daftar masuk bagasi milik orang lain, terutamanya individu tidak dikenali atau kenalan dalam talian.

Orang ramai juga diingatkan supaya senantiasa berhati-hati terhadap tawaran pekerjaan yang diterima melalui media sosial, khususnya melibatkan perjalanan ke luar negara dengan upah yang lumayan dan skop kerja yang tidak jelas.

“Jangan terperdaya dengan video yang menjanjikan kemewahan atau kekayaan segera, sindiket dadah menggunakan pempengaruh media sosial dan akaun palsu untuk memperdaya mangsa. Jika sesuatu tawaran kedengaran terlalu mudah atau terlalu indah untuk dipercayai, besar kemungkinan ia penipuan atau jenayah,” katanya.

Lee turut menggesa ibu bapa memantau aktiviti dalam talian anak-anak serta melaporkan jika menerima mesej, tawaran kerja atau individu yang mencurigakan kepada pihak berkuasa.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan