AM

Debaran Syawal: Spekulasi Tarikh Raya Jadi Bualan Rakyat

18/03/2026 04:58 PM

KUALA LUMPUR, 18 Mac (Bernama) -- “Raya pada Jumaat atau Sabtu?” Persoalan itu semakin menjadi bualan hangat, sekali gus menyemarakkan keterujaan masyarakat menjelang Aidilfitri. 

Spekulasi mengenai kemungkinan “raya terkejut” terus diperkatakan, dengan ramai tertanya-tanya sama ada pengumuman rasmi oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan menetapkan sambutan seawal Jumaat atau Sabtu. 

Dalam suasana penuh debar itu, tumpuan kini terarah kepada proses cerapan anak bulan Syawal esok, yang bakal merungkai segala persoalan dan menentukan detik sebenar bermulanya 1 Syawal. 

Sebelum ini, spekulasi itu dikaitkan dengan beberapa petunjuk, termasuk pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai cuti tambahan seawal Jumaat serta diskaun tol selama dua hari bersempena dengan Aidilfitri, bermula hari ini. 

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menerusi hantaran di X menambah kehangatan teki-teki itu apabila menyatakan tarikh 1 Syawal berpotensi jatuh pada Jumaat.

“Jika melihat kepada kriteria lama sebelum diubah, tidak mustahil Jumaat ini 1 Syawal. Mungkinkah peristiwa 2022 berulang semula?” katanya.

Perbincangan turut hangat dalam kalangan warga siber apabila kalendar Google memaparkan 1 Syawal pada Jumaat berbanding Sabtu sebelum ini, mencetuskan pelbagai reaksi dan andaian.

Australia dan Emiriah Arab Bersatu antara yang telah mengumumkan Aidilfitri akan diraikan pada 20 Mac.

Menerusi Threads, seorang pengguna turut mengaitkan perkara itu dengan jangkaan sama di Malaysia, “Australia raya Jumaat 20 Mac 2026. Orang Malaysia jangan raya mengejut pula tahun ini,” katanya.

Di Facebook, ramai yang menyatakan telah bersedia menyambut “raya terkejut” termasuk Sharifah Aishah Syed Mohammed berkata, “... apa-apa pun memang bersedia nak raya 20hb”.

Seorang lagi pengguna Nur Razinah Mohammad berkata tarikh bukanlah isu kerana dia sudah pulang ke kampung, manakala pengguna lain memuat naik pelbagai hantaran tentang spekulasi itu. 

Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja memaklumkan tarikh melihat anak bulan Syawal ditetapkan pada petang esok di 29 lokasi di seluruh negara dan tarikh Hari Raya Puasa yang ditetapkan akan diisytiharkan pada malam sama.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan