EKONOMI

JLand Group, EdgeProp Bekerjasama Majukan Ekosistem Hartanah Dipacu Data Di Johor

18/03/2026 06:43 PM

JOHOR BAHRU, 18 Mac (Bernama) -- Bahagian infrastruktur dan hartanah Johor Corporation (JCorp), JLand Group Sdn Bhd (JLG)  telah bekerjasama dengan media hartanah dan platform data EdgeProp untuk memajukan risikan data hartanah dan mengukuhkan kedudukan pasaran merentasi landskap hartanah Johor yang sedang berkembang.

Perkongsian itu dirasmikan melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani di Kuala Lumpur pada Selasa, kata kedua-dua pihak dalam satu kenyataan bersama.

Di bawah MoU itu, EdgeProp telah dilantik sebagai rakan kongsi pengetahuan strategik JLG, yang akan menyokong transformasi digital kumpulan melalui platform EdgeProp EPIQ proprietarinya, data hartanah bersepadu dan penyelesaian analitik yang menyediakan risikan pasaran melalui sistem pemetaan digital berpusat. 

“Melalui kerjasama ini, JLG menyasarkan untuk memanfaatkan keupayaan risikan data EdgeProp bersama pengetahuan pasaran serantau dan kepakaran pembangunannya sendiri bagi mengukuhkan keberkesanan operasi, mengasah kedudukan pasaran selain menyokong pembangunan ekosistem hartanah yang lebih bersepadu dan didayakan data di Johor,” kata kenyataan itu.

MoU itu menggariskan tiga bidang utama kerjasama iaitu mengoptimumkan aliran kerja dalaman, mengukuhkan kehadiran pasaran dan keterlihatan projek serta meneroka pembangunan platform digital serantau.

 

“Inisiatif ini bertujuan untuk menyepadukan papan pemuka data bersatu ke dalam sistem sedia ada JLG, memperkemas penyelidikan, perancangan dan analisis pasaran merentas portfolio kediaman, komersial serta perindustriannya.

“Perkongsian itu juga akan memanfaatkan platform media rentas sempadan EdgeProp untuk meningkatkan keterlihatan pasaran JLG dan perkembangan strategiknya melalui kandungan yang diselaraskan, dipacu data serta inisiatif pemasaran,” katanya.

Kedua-dua pihak akan meneroka lebih lanjut pembangunan platform digital serantau khusus berdasarkan enjin EPIQ, yang akan membolehkan JLG mengintegrasikan data serantaunya dengan set data hartanah seluruh negara EdgeProp.

Pengarah Urusan Kumpulan JLG Datuk Akmal Ahmad berkata perkongsian itu menandakan satu langkah penting dalam mempercepatkan peralihan syarikat ke arah model pembangunan yang dipacu data.

“Dengan menyepadukan keupayaan risikan data EdgeProp ke dalam proses membuat keputusan kami, kami sedang meningkatkan kaedah dalam menilai peluang bank tanah, merancang pembangunan masa depan dan bertindak balas terhadap isyarat pasaran dengan lebih pantas dan tepat.

“Lebih penting lagi, ini membolehkan kami beralih daripada keterlihatan data kepada kelebihan membuat keputusan, mengukuhkan cara kami dalam memposisikan perkembangan, menggunakan modal dan bertindak balas terhadap peralihan pasaran dalam masa nyata,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan EdgeProp Alvin Ong berkata perkongsian itu menyediakan asas pacuan data yang mantap dalam menyokong strategi dan cita-cita digital JLG.

“Dengan memanfaatkan kelebihan enjin EPIQ, JLG boleh memberi tumpuan kepada kepakaran terasnya dalam pembangunan sementara kami menyediakan analisis khusus serta jangkauan media untuk menyokong matlamatnya dalam memacu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura dan seterusnya,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan