AM

KPM Junjung Titah Raja Permaisuri Agong Wujudkan Persekitaran Selamat Di Institusi Pendidikan

15/10/2025 02:49 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) menjunjung titah Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berhubung keperluan mewujudkan persekitaran yang selamat di semua institusi pendidikan.

Dalam kenyataan hari ini, KPM memaklumkan bahawa titah Seri Paduka Baginda menjadi peringatan penting kepada seluruh warga kementerian untuk menangani isu salah laku seksual yang memberi implikasi besar kepada masyarakat dan negara.

“KPM komited melaksanakan kempen kesedaran menyeluruh di semua institusi pendidikan, menilai keberkesanan modul Tindak Demi Anak Kita (TinDak), serta bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi menjalankan kajian mengenai pengaruh media sosial terhadap murid seperti yang dititahkan Seri Paduka Baginda.

“Keprihatinan Raja Permaisuri Agong yang menzahirkan pandangan berhubung isu sosial dan langkah menanganinya menjadi panduan kepada KPM untuk terus memperkukuh aspek keselamatan di institusi pendidikan,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Seri Paduka Baginda bertitah agar KPM menilai keberkesanan modul kempen TinDak dalam usaha memperkukuh persekitaran sekolah yang lebih selamat dengan penglibatan aktif ibu bapa.

Titah tersebut dizahirkan susulan kejadian rogol di sebuah sekolah di Alor Gajah, Melaka baru-baru ini yang dipandang serius oleh Seri Paduka Baginda.

Dalam masa sama, Seri Paduka Baginda turut bertitah agar sekolah sentiasa peka terhadap perkembangan semasa termasuk penggunaan Internet dan media sosial dalam kalangan murid serta menilai semula pendekatan sedia ada supaya seiring dengan perubahan zaman.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan