AM

Kebajikan Dua Pelajar B40 UniMAP Dapat Perhatian Naib Canselor

15/10/2025 06:56 PM

KANGAR, 15 Okt (Bernama) -- Kebajikan dua pelajar baharu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) daripada keluarga B40 mendapat perhatian Naib Canselornya Datuk Prof Dr Zaliman Sauli yang turun padang mengunjungi serta menyampaikan sumbangan di kolej kediaman mereka pada Isnin lepas.

UniMAP dalam kenyataan hari ini memaklumkan dua pelajar lelaki program Ijazah Sarjana Muda itu, Ahmad Danial Fitri Mohd Fazli, 20, dan P. Heviinash, 22, masing-masing merupakan penerima Program Dermasiswa B40 Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan Program Pembangunan Siswa SULUNG.

Kedua-dua mereka akan menikmati pengecualian yuran pengajian sepanjang pengajian manakala Ahmad Danial Fitri juga bakal menerima elaun bulanan RM800. 

Zaliman dalam kenyataan itu berkata kunjungan tersebut merupakan sebahagian usaha UniMAP menerapkan budaya universiti penyayang yang bukan sahaja menumpukan kepada kecemerlangan akademik tetapi juga kesejahteraan menyeluruh warga kampus.

Beliau berkata kunjungan tersebut juga menzahirkan iltizam UniMAP dalam memperkukuh semangat kebersamaan seiring dengan nilai Ilmu, Keikhlasan dan Kecemerlangan yang menjadi teras universiti.

“Kita mahu pastikan setiap pelajar UniMAP tidak tercicir disebabkan kekangan kewangan atau cabaran hidup. Mereka adalah aset negara dan menjadi tanggungjawab universiti untuk memastikan pelajar berkenaan terus bersemangat menamatkan pengajian.

“Saya berharap mereka gembira di UniMAP dan sekiranya ada masalah boleh menghubungi pihak fakulti serta Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP),” katanya.

Dalam kunjungan itu, kedua-dua pelajar berkenaan turut menerima sumbangan keperluan asas dan bantuan kebajikan bagi memastikan mereka dapat meneruskan pengajian dalam keadaan lebih selesa.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Dr Mohd Mustafa Al Bakri Abdullah dan Pengarah JHEP Prof Madya Dr Mohamad Syahmie Mohamad Rasidi.

Sementara itu dalam kenyataan sama, Ahmad Danial Fitri, yang merupakan pelajar jurusan Komunikasi Media Baharu menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada UniMAP kerana Dermasiswa B40 TVET yang diterimanya membolehkan dia fokus sepenuhnya terhadap pengajian dengan tenang.

“Selepas ini saya boleh memberi fokus terhadap pengajian dan akan memanfaatkan peluang ini sebaiknya untuk membanggakan ibu dan membela nasib keluarga,” katanya.

Heviinash, pelajar orang kurang upaya (OKU) fizikal ambilan pertama jurusan Sains Data (Kecerdasan Buatan) UniMAP pula, menyatakan keazaman untuk belajar bersungguh-sungguh demi peluang kerjaya yang baik pada masa depan.

“Saya sangat gembira dan bersyukur. Saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mempersiapkan diri dalam lapangan pekerjaan,” katanya.

UniMAP memaklumkan Heviinash, yang merupakan lepasan Diploma Teknologi Maklumat dari Politeknik Balik Pulau, Pulau Pinang, pernah terpilih sebagai wakil Malaysia ke Los Angeles bagi pembentangan produk bertajuk Turbidity Indicator for Water Pollution di Broadcom Masters International 2017 ketika berusia 14 tahun.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan