TEMERLOH, 15 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Tribunal Antibuli yang sedang dirangka kerajaan bukan sahaja tertumpu kepada pelajar sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) tetapi turut melibatkan semua institusi pendidikan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata tribunal itu turut melibatkan sekolah swasta dan institusi pendidikan yang mempunyai tanggungjawab terhadap kanak-kanak serta remaja bawah 18 tahun.
“Kalau bawah 18 tahun, kita akan selaras dengan Akta Kanak-Kanak 2001, tetapi jika kes melibatkan mereka berusia lebih 18 tahun, ia akan diletakkan di bawah segmen berbeza,” katanya kepada pemberita selepas sesi Dialog Awam AntiBuli: #Generasitanpabuli peringkat Pahang di sini hari ini.
Sementara itu, beliau berkata definisi buli yang akan dimasukkan di bawah tribunal itu merangkumi pelbagai bentuk termasuk buli fizikal, emosi, mental, sosial, dalam talian dan lisan.
“Definisi ini penting supaya kita tahu kes yang termasuk dalam bidang kuasa tribunal. Tribunal bukan menghukum seperti mahkamah jenayah, tetapi lebih kepada memberi ruang pemulihan kepada pihak terlibat.
“Kalau buli, mesti lebih daripada sekali. Itu kunci utama dan ia mesti berterusan untuk diklasifikasi sebagai buli,” katanya.
Selain itu, Azalina berkata tribunal yang akan diwujudkan itu berbeza dengan konsep mahkamah kerana ia bertujuan menyelesaikan kes secara lebih pantas, rahsia dan berkesan tanpa melalui prosedur sistem kehakiman sedia ada.
“Kalau tidak, kadang-kadang pelaku ambil kesempatan sebab tahu kes di mahkamah boleh ambil masa lama,” katanya.
Beliau berkata RUU berkenaan kini di peringkat akhir dan dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri hujung bulan ini, sebelum dibawa ke Parlimen bagi bacaan kali pertama pada Disember.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial