AM

Bas Elektrik Di Kelantan Beroperasi Ogos Ini

03/07/2025 08:05 PM

KOTA BHARU, 3 Julai (Bernama) -- Perkhidmatan bas elektrik yang dikenali sebagai Bas.My Kota Bharu akan beroperasi sepenuhnya di negeri berkenaan pada Ogos ini.

Pengerusi Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara) Che Ibrahim Che Ismail berkata perkhidmatan bas itu terpaksa ditangguhkan selepas berdepan masalah teknikal.

“Perancangan awal perkhidmatan bas itu bermula pada Selasa lepas, namun pihak kami perlu menyelesaikan beberapa masalah teknikal yang dialami sebelum ia boleh digunakan sepenuhnya pada bulan depan.

“Lima perkhidmatan bas yang beroperasi ketika ini melibatkan laluan Kota Bharu-Meranti-Kota Bharu dengan menggunakan enjin diesel, bukan bas elektrik seperti dilaporkan portal berita sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Bubur As-Syura di sini hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan bas itu menawarkan empat laluan di sekitar bandar berkenaan iaitu melibatkan laluan Kota Bharu-Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra-Sabak; Kota Bharu-Panchor-Kemumin-Sabak; Kota Bharu-Pengkalan Chepa dan Kota Bharu-Pantai Cahaya Bulan.

Sementara itu, Che Ibrahim berkata pihaknya menyambut baik langkah kerajaan mewajibkan penumpang memakai tali pinggang keledar sepanjang menaiki bas.

“Kami telah menyediakan perkhidmatan pemakaian tali pinggang keledar sejak 15 tahun lepas bagi menjaga keselamatan penumpang dan pemandu bas.

“Langkah kerajaan ini adalah satu perkara baik bagi mengelakkan sesuatu perkara tidak diingini berlaku sepanjang berada dalam bas kerana keselamatan penumpang perlu diutamakan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan