Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MERCY Malaysia Desak ASEAN Perkukuh Semula Komitmen 5PC Mengenai Myanmar

04/07/2025 06:04 PM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- MERCY Malaysia menyeru ASEAN untuk menegaskan semula komitmennya terhadap Konsensus Lima Perkara (5PC) mengenai Myanmar.

Presiden MERCY Malaysia Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus turut menggesa blok serantau itu untuk mengutamakan akses kemanusiaan dan menguatkan mekanisme Utusan Khas dalam mendepani krisis berterusan di negara berkenaan.

Seruan itu disuarakan susulan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM ke-58) yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) minggu ini iaitu dari 8 hingga 11 Julai.

Beliau berkata 5PC, yang diterima pakai ASEAN pada 2021, masih merupakan haluan paling jelas ke arah keamanan dan kestabilan serantau di Myanmar.

"Sejak beberapa bulan kebelakangan ini, kami telah menyaksikan konvoi kemanusiaan ditahan di sempadan sementara ada keluarga terus tiada akses kepada air bersih, tempat perlindungan atau penjagaan kesihatan yang penting.

"Jurang yang semakin jauh antara niat dan akses ini menggambarkan keperluan mendesak untuk menterjemahkan belas kasihan kepada tindakan yang diselaraskan dan berterusan, yang sampai kepada mereka yang paling memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

5PC merupakan rangka kerja dipersetujui ASEAN untuk menangani krisis Myanmar yang menyeru kepada menamatkan keganasan, dialog inklusif, pengantaraan utusan khas, bantuan kemanusiaan dan lawatan utusan bagi melibatkan semua pihak.

Ahmad Faizal juga menggesa mekanisme Utusan Khas diperkukuh secara berstruktur dengan mandat operasi yang jelas, akses kepada semua pihak berkepentingan, sumber jangka panjang yang mencukupi dan ditransformasikan menjadi kedudukan kekal dengan sumber yang baik.

"Kemanusiaan tidak lagi boleh dilihat sebagai tanggungjawab segelintir pihak. Ia mesti menjadi etos serantau yang dikongsi bersama yang melihat penderitaan bukan sahaja sebagai suatu krisis kemanusiaan, tetapi sebagai seruan untuk perpaduan, keadilan struktur dan penglibatan jangka panjang," katanya.

Ahmad Faizal menambah selain pembaharuan institusi, rantau ini mesti menerima budaya kemanusiaan bersama yang proaktif dan bukannya reaktif, berasaskan empati, dimaklumkan oleh bukti dan dipelihara oleh tanggungjawab bersama. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan