AM

UTeM Terajui Pembangunan Industrial Playground Pacu Pertumbuhan Ekonomi Negara

03/07/2025 11:56 PM

MELAKA, 3 Jun (Bernama) -- Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerajui inisiatif pembangunan Industrial Playground yang berkonsepkan pendekatan ‘Universiti di Industri dan Industri di Universiti’ sebagai pemangkin pertumbuhan industri serta ekonomi negara.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata inisiatif itu bertujuan mengintegrasikan dunia akademik dan industri melalui penerokaan teknologi baharu serta memperkukuh ekosistem inovasi dan pengkomersialan.

“Inisiatif ini merangkumi empat komponen ekosistem utama iaitu Pusat Kecemerlangan Industri-Teknologi (Ti-CoE), Pusat Pembuatan, Reka Bentuk Rumah dan Inkubator. 

“Ia membentuk satu rangkaian dinamik yang menggabungkan syarikat, teknologi, inovasi dan infrastruktur untuk mencipta nilai secara kolaboratif bersama industri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Massila berkata Industrial Playground menjadi platform mempercepat pembangunan produk baharu, teknologi terkedepan dan perkhidmatan terkini, pengkomersialan melalui perkongsian pintar bersama industri.

Beliau berkata inisiatif itu turut menyasarkan penubuhan lebih banyak syarikat terbitan dan pemula, hasil daripada penyelidikan universiti yang diterjemah kepada produk sebenar.

“Pada masa sama, ia tentu merangsang penghasilan teknologi baharu yang melibatkan ciptaan, kaedah atau sistem yang lebih moden, efisien, tenaga kerja berkemahiran serta berpendapatan tinggi,” katanya.

Beliau berkata UTeM mengambil pendekatan serius dan komited dalam menzahirkan projek berimpak tinggi nasional dan berdaya kompetitif antarabangsa ini, dan sehingga kini beberapa pencapaian semasa telah dicapai.

“Empat komponen utama pengisian telah dilaksanakan antaranya menerusi kerjasama UTeM bersama industri, maka terhasilnya penerimaan endowmen dalam bentuk barang berupa mesin dan peralatan daripada Maxeon Solar Technologies dengan nilai RM10 juta.

“Keduanya adalah penubuhan Makmal Industri yang berfokus kepada pembangunan dan pengujian bahan komposit termoplastik dan termoset untuk aplikasi aeroangkasa bersama Aerospace Malaysia Innovation Centre (AMIC).

“Ketiga adalah pembangunan Pusat Latihan CNC Termaju bersama Def Advance Technologies dan keempat adalah pemerkasaan Kilang Pengajaran (TF) UTeM yang membawa pendekatan pengajaran yang inovatif dengan projek praktikal atau berasaskan amali ke dalam bilik darjah atau makmal,” katanya.

Beliau berkata ia turut melibatkan kajian kes projek sebenar daripada industri digunakan sebagai bahan pengajaran dan pembelajaran dan sebagai balasan, penyelesaian yang boleh diterima terhadap masalah kejuruteraan itu dikongsi bersama rakan industri.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan