Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sunway International Schools dan Magdalen College School Oxford Bawa Pengalaman Pendidikan Terunggul British Ke Malaysia

05/07/2025 08:24 AM

KUALA LUMPUR, 4 Julai (Bernama) -- Sunway International Schools (SIS) mengumumkan kerjasama strategik dengan institusi terkemuka Britain, Magdalen College School (MCS) Oxford bagi memperkenalkan Program Cambridge International A-Level di Malaysia bermula Ogos tahun ini.

Kerjasama itu melibatkan pelaksanaan standard kecemerlangan akademik mengikut piawaian British, sekali gus menawarkan pelajar Malaysia akses terus kepada model pendidikan yang terkenal di peringkat global.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pendidikan Sunway Prof Datuk Elizabeth Lee berkata beliau berbangga dengan kerjasama itu dan menyifatkannya sebagai langkah transformasi dalam usaha SIS menyediakan pendidikan bertaraf dunia.

“Pencapaian penting ini bukan sahaja memperkukuh tawaran pendidikan kami, malah membuka ruang kepada pendekatan inovatif yang akan memberi manfaat kepada pelajar di kedua-dua negara.

“Kami tidak sabar menantikan kohort pertama pelajar bagi program A-Level di SIS yang akan menerima pengiktirafan berprestij serta dipimpin secara akademik oleh MCS pada Ogos 2025,” katanya dalam kenyataan

MCS yang memiliki warisan pendidikan lebih 500 tahun dan tergolong dalam kelompok satu peratus terbaik daripada lebih 2,400 sekolah persendirian di UK terkenal dengan pencapaian akademik cemerlang serta pembangunan pelajar secara holistik.

Reputasi akademik MCS disokong oleh keputusan cemerlang A-Level 2024 dengan 95 peratus pelajarnya memperoleh gred A*-B dan 81 peratus meraih gred A*-A. Lebih membanggakan, sebanyak 47 pelajar memperoleh sekurang-kurangnya tiga gred A* manakala 19 pelajar pula mendapat empat gred A* atau lebih.

Sekolah itu turut diiktiraf dalam bidang kokurikulum seperti sukan, muzik, seni dan drama. The Sunday Times menyenaraikan MCS sebagai sekolah persendirian ketujuh terbaik di UK dalam ranking Parent Power 2024.

Sementara itu, dalam kenyataan yang sama, MCS Master Helen Pike berkata kerjasama ini mencerminkan nilai dan komitmen bersama kedua-dua institusi terhadap kecemerlangan akademik.

“Adalah penting untuk kami bekerjasama dengan rakan strategik yang berkongsi komitmen teguh terhadap kecemerlangan akademik dan inovasi, di samping mengamalkan pendekatan holistik dalam memupuk kreativiti dan kepimpinan dalam kalangan pelajar,” katanya.

“Nilai-nilai SIS amat selari dengan nilai kami, menjadikan kerjasama ini - yang pertama di Malaysia - satu peluang penting untuk meluaskan horizon atau linkungan pendidikan kami. Ia membolehkan para pelajar terlibat dengan pelbagai perspektif dan pengalaman, sekali gus membuka pintu kepada pertukaran budaya bagi meraih pengalaman pendidikan yang menyeluruh,” katanya.

Kerjasama ini turut memperkenalkan Program Waynflete untuk membantu pelajar membuat persediaan ke universiti terkemuka UK, memberi peluang kepada pelajar SIS untuk menyertai kem musim panas di MCS Oxford, serta menyediakan ruang khas yang direka khas di SIS yang mencerminkan gaya dan tradisi sekolah-sekolah terkemuka British.

Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia David Wallace dalam kenyataan sama berkata kerjasama antara SIS dan MCS Oxford sebagai satu babak baharu yang dinamik dan mengujakan dalam perjalanan pendidikan rentas negara antara UK dan Malaysia.

“Ia mencerminkan komitmen bersama untuk memupuk kecemerlangan, inovasi dan pertukaran budaya - sekali gus memperkayakan pengalaman pembelajaran serta membentuk generasi pemimpin masa depan,” katanya.

Kerjasama ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Tan Sri Dr Jeffrey Cheah, pengasas SIS dan Yayasan Jeffrey Cheah (JCF) dalam memperkukuh hubungan pendidikan antara Malaysia dan UK.

Cheah yang dianugerahkan darjah kebesaran Komander Kesatria Darjah Yang Paling Cemerlang Empayar British (KBE) , mengetuai JCF - perusahaan sosial pendidikan terbesar di Malaysia - yang mentadbir Kumpulan Pendidikan Sunway dan 22 institusi lain.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan