BERITA TERGEMPAR | Malaysia hopes ASEAN-Canada Free Trade Agreement negotiations can be concluded soonest possible for mutual benefit - PM Anwar | |
KUANTAN, 3 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyiapkan garis panduan terbaru industri kecantikan dan akan membawa cadangan itu kepada Kabinet, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh.
Beliau berkata garis panduan itu tersedia dengan beberapa penambahbaikan, selaras dengan perkembangan terkini industri berkenaan selepas pihaknya mengadakan libat urus bersama pemain industri selain bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan.
Fuziah berkata garis panduan baharu ini akan memperkemaskan panduan yang digunakan sejak 2013.
Beliau berkata inisiatif itu juga antara lain bagi melindungi pengguna di samping membangunkan industri yang menunjukkan pertumbuhan pesat dan terus memberi sumbangan signifikan kepada ekonomi domestik serta menyumbang sebanyak RM13.5 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023.
“Garis panduan baharu ini ditambah baik termasuk pengendalian mesin sama ada ia boleh dikendalikan oleh pengamal perubatan atau sebaliknya terutama melibatkan mesin laser dan ultrabunyi fokus berintensiti tinggi (HIFU).
“Usaha ini bukan sahaja bertujuan untuk memastikan peraturan yang diguna pakai kekal relevan dengan perkembangan semasa, malah turut memberi ruang kepada pengusaha dan usahawan industri kecantikan berkembang dalam persekitaran lebih profesional dan beretika,” katanya pada sidang media selepas merasmikan sebuah pusat kecantikan di sini hari ini.
Beliau turut memaklumkan dalam tempoh tiga tahun bermula 2023, pihaknya hanya menerima tiga aduan berkaitan dengan kerosakan kulit selepas individu itu menerima rawatan di pusat kecantikan selain terdapat juga aduan mengenai pakej rawatan yang ditawarkan.
Fuziah berkata mengikut rekod, lebih 28,600 syarikat terlibat dalam industri kecantikan didaftarkan dan KPDN sebagai kementerian yang bertanggungjawab menyelia sektor perkhidmatan yang tidak dikawal selia, akan sentiasa proaktif dalam memastikan ekosistem industri kecantikan di negara ini terus berkembang secara tersusun dan berdaya saing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial